Sunday, March 6, 2011

Sebanyak 386 Inap Desa Tidak Berdaftar Dengan Kementerian Pelancongan

Kementerian Pelancongan mengesan sebanyak 386 pengusaha inap desa di seluruh negara tidak berdaftar dan menjalankan perniagaan tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata pengusaha perlu menyediakan program sampingan, antaranya persembahan budaya dan aktiviti rekreasi untuk pelancong yang datang ke inap desa mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata pengusaha tidak berdaftar hanya menyediakan perkhidmatan penginapan sahaja tanpa sebarang aktiviti lain dan ini mengelirukan pelancong.

"Kita mengkaji mereka ini, dan ada pelancong yang kecewa kerana mereka menginap di inap desa untuk mengalami sendiri rutin hidup di kampung, bukan hanya tidur sahaja," katanya kepada pemberita selepas melawat inap desa di Felda Jengka 25, dekat Temerloh, semalam.

Sehubungan itu, Ng berkata pihaknya akan menukar nama inap desa kepada nama baru yang unik dan eksklusif bagi pengusaha yang mematuhi syarat serta berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

"Kita akan menukar namanya selepas ini kepada nama 'Inap Desa Pelancongan Malaysia' tidak lama lagi supaya pelancong dari dalam dan luar negara tidak keliru," katanya.

Selain itu, Ng berkata Suruhanjaya Syarikat Malaysia memberi jaminan tidak akan mendaftarkan syarikat pengusaha inap desa yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

Beliau berkata logo sedia ada juga akan didaftar bagi memperoleh hak cipta supaya pihak lain tidak boleh menggunakannya sesuka hati.

No comments:

Post a Comment