Peserta turut diuji dengan menyertai pertandingan Pelayaran Remaja EPIC ketika Klinik Pelayaran Remaja di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Menjadi tuan rumah kepada kejohanan tahunan berprestij dunia, Piala Monsun dengan menarik penyertaan pelayar-pelayar ternama mungkin suatu yang membanggakan.
Namun, kerajaan negeri tentunya tidak mahu sekadar berbangga sedangkan rakyat tempatan hanya memerhati sukan yang agak asing dan mungkin sukar difahami dan dikuasai itu.
Justeru, Terengganu kini menggiatkan usaha untuk melahirkan jaguh-jaguhnya sendiri pada masa depan yang mampu diketengahkan bagi bersaing di persada dunia.
Apatah lagi, di Muara Sungai Terengganu di sebagai lokasi Piala Monsun berlangsung, tempat lokasi di mana tamadun negeri tercipta dengan tradisi pembinaan perayu layar dan kapal dagang.
Melalui Kelab Perbendaharaan Negeri Terengganu (KPNT) dan anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC), inisiatif diambil dengan menganjurkan Klinik Pelayaran Remaja baru-baru ini.
Penganjuran program dua hari ini merupakan kesinambungan daripada program pertama pada Mac tahun lalu yang bertujuan menanamkan minat generasi muda untuk bergiat secara serius dalam sukan ini.
Tahun lalu, 28 pelajar sekolah menengah dari negeri ini telah dilatih untuk mengetahui asas sukan itu dan 28 lagi peserta pada tahun ini menyertai program yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat pihak EPIC.
Pengerusi KPNT, Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim berkata, klinik itu memberi pendedahan mengenai sukan dan cabaran pelayaran kepada golongan remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun.
Katanya, bertempat di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, program ini dikendalikan oleh T-Best Events iaitu agensi yang turut menguruskan kejohanan kapal layar Piala Monsun sejak 2005.
“Sama seperti tahun lalu, empat pasukan menyertai klinik ini dan seterusnya menguji kemampuan pasukan dengan Pertandingan Pelayaran Remaja EPIC pada hari keduanya.
“Pasukan pelayar muda ini berpeluang menimba pengalaman dengan berlatih menggunakan perahu layar Foundation 36, iaitu perahu yang sama digunakan oleh pelayar dalam kejohanan kapal layar Piala Monsun,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Empat pasukan yang terlibat adalah Treasury Junior, Permint Junior 1, Permint Junior 2 dan pasukan dari Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Chendering.
Tambah Mohd. Huzairil, peserta didedahkan dengan aspek asas tentang sukan layar yang merangkumi isu keselamatan dan format pertandingan serta pelbagai jenis perlumbaan dalam lapan sesi program.
Kesemua peserta remaja yang menyertai Klinik Pelayaran Remaja EPIC di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Katanya, selain penerangan berbentuk teori di dalam kelas, peserta turut dibawa ke marina bagi menerangkan sebahagian daripada jenis-jenis kapal yang diguna untuk kejohanan dan fungsi setiap posisi awak dalam perlumbaan.
“Para peserta akan diajar aspek teknikal, peraturan perlawanan, taktik dan strategi sebelum empat pasukan itu bersaing di antara satu sama lain di penghujung program.
“Peserta turut didedahkan dengan cara mengawal keadaan semasa dalam kapal dan aspek pengendalian layar dengan baik,” jelasnya.
Apa yang penting, katanya, program itu menekankan aspek keyakinan dalam diri peserta untuk menghadapi segala cabaran secara berkumpulan serta menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam diri masing-masing.
Peserta juga berpeluang untuk belajar secara langsung daripada pelatih yang sememangnya berpengalaman dan telah mencipta nama dalam kejohanan sebelum ini seperti David Mills yang juga Pengurus Kejohanan Piala Monsun.
Turut diberi kepercayaan menjadi ‘mentor’ pada program ini, Juara Malaysia Match Racing (MMR) 2010, Sean Ong Khong Shing; Juara MMR 2009, Hazwan Hazim Dermawan; Juara MMR 2008, Nurul Ain Md. Isa dan pelajar elite dari pasukan kebangsaan, Nik Ashraf Qaedi.
Sementara itu, Pengarah Urusan EPIC, Ramli Shahul Hameed dalam ucapan penutup program itu berkata, pendedahan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada anak tempatan menunjukkan bakat yang sebelum ini tidak pernah digilap.
Katanya, pihak penaja berharap lebih ramai jaguh mampu dilahirkan walaupun sekarang sudah mempunyai beberapa anak tempatan yang terlibat sepenuhnya dalam sukan ini.
“Sokongan kerajaan dan pihak swasta menjadi kunci kepada usaha memartabatkan sukan ini serta peluang yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk sesi latihan sama ada hujung minggu atau setiap kali cuti persekolahan.
“Sekurang-kurangnya mereka mempunyai satu pengalaman pembelajaran yang baru selain daripada tumpuan dalam bidang akademik,” katanya.
Dalam pada itu, David Mills juga mahu memperbetulkan persepsi masyarakat yang menganggap sukan perahu layar sebagai sukan mahal.
Pada masa kini, katanya, peluang lebih terbuka dengan segala kelengkapan dan kemudahan yang sudah disediakan oleh kerajaan serta sokongan kuat daripada syarikat korporat.
“Mereka yang berminat serta mempunyai kesungguhan tidak perlu membeli sebuah kapal, tetapi cukup sekadar dengan baju keselamatan dan sepasang sarung tangan,” katanya.
Beliau sempat mengingatkan, ciri-ciri juara dalam sukan itu adalah keupayaan melakukan banyak perkara pada satu masa dan kebolehan membuat keputusan dengan pantas.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment