Sunday, March 20, 2011

Terengganu Negeri Pertama Tawarkan Penerbangan Umrah Secara Terus

Sebahagian jemaah yang akan mengerjakan umrah membuat pemeriksaan imigresen dan kesihatan di Lapangan Terbang, Sultan Mahmud Kuala Terengganu, kelmarin.

Terengganu menjadi negeri pertama menawarkan penerbangan umrah secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah, Arab Saudi.

Naib Presiden Bahagian Haji dan Sewa Khas Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Kapten Nik Huzlan Nik Hussain berkata, penerbangan terus itu memudahkan jemaah dari Pantai Timur apabila dapat menjimatkan masa serta tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur.

"Saya berharap semua pihak akan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis keberangkatan jemaah Umrah Anugerah di LTSM, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Mazlan Ngah.

Seramai 451 jemaah yang terdiri daripada para petugas operasi haji tahun lepas dan beberapa kakitangan kerajaan terpilih menunaikan umrah pada kali ini.

Mereka berlepas pada pukul 5.55 petang semalam dengan menaiki pesawat MH8324 dan akan mengambil masa selama sembilan jam sebelum sampai di Jeddah.

Hampir kesemua jemaah menggunakan khidmat agensi pengurusan umrah iaitu Zahafiz Travel & Tours Sdn. Bhd., Imtiyaz Travel & Tours Sdn. Bhd., Rayhar Travels Sdn. Bhd. dan TH Travel & Services Sdn. Bhd.

Setiap agensi menawarkan tiga pakej iaitu pakej biasa, sederhana dan kelas pertama di mana pemilihan pakej bergantung kepada tahap kemampuan jemaah.

Nik Huzlan seterusnya berkata, secara purata, kira-kira 25,000 visa untuk menunaikan umrah telah diberikan kepada penduduk Terengganu, Kelantan dan Pahang pada setiap tahun.
Katanya, jumlah itu merangkumi 30 peratus daripada 80,000 visa yang dikeluarkan kerajaan pada setiap tahun untuk digunakan oleh penduduk negara ini.

1 comment:

  1. Jangan lupa layari juga http://rakyattranung.blogspot.com

    ReplyDelete