Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semalam, memerintahkan Aflah Haj dan Umrah Service membayar RM17,500 kepada dua pelanggannya selepas syarikat pengendali pakej haji dan umrah itu gagal memberi perkhidmatan ditawarkan.
Presiden TTPM, Reihana Abd Razak dalam keputusannya, memerintahkan wakil syarikat itu, Mustafar Ismail membayar RM10,500 kepada W Abd Razak W Hassan, 50, dan RM7,000 kepada Mohamad Idris, 50, dalam tempoh 30 hari bermula semalam.
Mohammad ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana keputusan TTPM membolehkannya mendapatkan semula wang yang dibayar kepada syarikat berkenaan selepas menunggu hampir dua tahun.
“Saya membuat pembayaran tiga kali bermula November 2008, Januari dan Mac 2009. Syukur kerana berjaya mendapatkan semula wang berkenaan. Dengan duit yang ada, saya sedang mencari syarikat lain untuk meneruskan impian untuk ke tanah suci sekali lagi bagi mengerjakan umrah.
“Terima kasih kerana TTPM menyelesaikan masalah ini tidak sampai sebulan,” katanya, semalam.
TTPM turut memerintahkan syarikat pemaju perumahan, SePurnama Development Sdn Bhd membayar RM5,000 kepada Mamat Salleh, 59, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan bermula semalam.
Wang itu dibayar Mamat sebagai pendahuluan bagi menempah rumah mampu milik Fasa 2 di Kampung Padang, Setenga, Kuala Berang.
Tuntutan bagi mendapatkan semula wang pendahuluan itu dibuat selepas permohonan Mamat untuk mendapatkan pinjaman di bank tidak berjaya dan usahanya untuk menemui pegawai syarikat pemaju untuk mendapatkan wang pendahuluan itu sebelum ini tidak berhasil.
No comments:
Post a Comment