Monday, March 7, 2011

Tujuh Pelancong Tempatan Disyaki Tembak Ikan Guna Senapang Angin Ditahan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tujuh pelancong tempatan kerana disyaki menggunakan senapang angin untuk menembak ikan di kawasan Taman Laut Pulau Tenggol kelmarin (Sabtu).

Ketua Penguatkuasa Maritim negeri Terengganu Kapten Adam Abdul Aziz berkata mereka yang ditahan berusia lingkungan 51 hingga 67 tahun serta berasal dari Ipoh, Perak dan dua daripadanya adalah wanita.

"Kita tahan mereka kira-kira pukul 1 petang di tepi pantai pulau itu, setelah kita menemui empat laras senapang angin di atas bot yang mereka naiki. Selain itu, bot berkenaan tidak mempamerkan nombor lesen," katanya semalam.

Beliau berkata kumpulan itu berada di pulau berkenaan sejak Jumaat lepas serta dipercayai melakukan kegiatan menembak ikan di Taman Laut semalam, dan mereka ditahan selepas mendapat maklumat daripada pengusaha chalet.

Katanya, mengikut Seksyen 44 Akta Perikanan 1985, mana-mana individu adalah dilarang membawa sebarang senjata untuk menangkap ikan laut seperti senapang angin, tombak dan sebagainya.

Pelancong berkenaan kemudian dilepaskan dengan jaminan polis dan kini masih berada di Pulau Tenggol manakala bot mereka ditunda ke jeti APMM di sini untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment