Wednesday, March 2, 2011

Walaupun Betis Masih Berbalut, Mohd Azizulhasni Mula Kembali Berkayuh

Walaupun betis kirinya masih berbalut dan terasa sakit selepas jahitan luka dibuka kelmarin, semangat membara meruntun jaguh berbasikal negara Mohd Azizulhasni Awang untuk kembali berkayuh semula semalam.

Pelumba trek berbasikal itu yang kini dalam proses pemulihan dan berehat di rumahnya di Melbourne, mengaku walaupun belum dibenarkan membuat latihan berat tetapi tetap menggagahkan dirinya untuk bergerak di sekeliling rumah bagi memastikan tubuhnya aktif.

"Jahitan luka di betis kiri baru dibuka semalam. Tetapi saya belum membuat latihan berat, hanya banyak bergerak untuk pastikan badan aktif," katanya melalui pesanan sistem pesanan ringkas kepada Bernama, semalam.

Melalui laman sosial Twitter pula, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu mengaku betis kirinya masih terasa sakit apabila cuba berkayuh selama 10 minit hari ini.

Mohd Azizulhasni terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kirinya sewaktu menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester minggu lepas.

Selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan sepihan kayu tersebut dilakukan di Hospital Diraja Manchester, pelumba yang digelar The Pocket Rocketman itu kembali ke Melbourne.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara Datuk Dr Ramlan Abd Azizi sebelum ini meminta Mohd Azizulhasni tidak berehat terlalu lama bagi mengelakkan kakinya kejang.

Dr Ramlan berkata pelumba itu perlu berehat selama tiga hingga empat minggu sebelum mula menjalani latihan ringan bagi menggerakkan otot-otot kakinya.

No comments:

Post a Comment