Saturday, April 23, 2011

300 Sekolah Naik Taraf Sekolah Kluster Kecemerlangan Menjelang 2015

Kementerian Pelajaran Malaysia menyasarkan sebanyak 300 buah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) menjelang 2015, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata sehingga kini 124 buah sekolah dinaikkan taraf kepada SKK termasuk 30 sekolah hari ini, manakala 26 buah sekolah lagi telah mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sebelum ini.

Katanya 16 SKK telah dinaikkan taraf sebagai SBT kohort 1 pada 2010 sementara 10 SKK lagi sebagai SBT kohort 2 pada Februari lepas.

"Saya berharap warga SKK menjadi 'role model' dan pembimbing kepada sekolah lain yang berhampiran dan seterusnya menjadi contoh dan 'show case' di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya ketika mengumumkan 30 sekolah yang dinaikkan taraf SKK pada majlis Pengiktirafan SKK Fasa 4 di sini Jumaat.

Johor mendahului senarai SKK dengan empat sekolah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing tiga sekolah, Melaka, Sabah, Kuala Lumpur dan Pahang masing-masing 2 sekolah manakala Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah dan Terengganu masing-masing satu sekolah.

Katanya kejayaan beberapa sekolah perlu dicontohi seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail Johor Baharu yang berjaya mendapat satu pingat emas dan satu pingat gangsa untuk '2nd Apec Future Scientist Conference' di Thailand, sementara Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, SMS Hulu Selangor dan Kolej Islam Sultan Abdul Aziz Shah yang telah memenangi satu pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa di Akademi Sains Korea di Busan bagi Program 'Student's Camp for Gifted in Science'.

Begitu juga SMK Ave Maria Convent Ipoh berjaya mendapat pingat Perak dalam pertandingan pancaragam 'Singapore International Band 2010' dan Sekolah Sukan Bukit Jalil mendapat tempat pertama dalam pertandingan hoki 'International Hockey Tournament' yang diadakan di Perth, Australia.

Tambah beliau dalam tempoh suku tahun pertama tahun ini, SKK telah menjayakan sebanyak 17 program pengantarabangsaan, termasuk SMK Victoria, Kuala Lumpur yang telah berjaya mendapat tempat pertama bagi pertandingan Poster Sains (Inovasi) di '10th ACA (Independent) Life Sciences Symposium 2011' yang diadakan di Singapura bulan lalu.

No comments:

Post a Comment