Tuesday, April 12, 2011

Bank Rakyat Sasar Buka Cawangan Baharu Di Kerteh

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) menyasarkan pembukaan empat cawangan baharu sepanjang tahun ini di Pantai Timur.
Ketua Wilayah Timur Bank Rakyat Berhanuddin Che Abdullah berkata dua daripada cawangan baharu itu akan dibuka di Pahang manakala masing-masing satu akan dibuka di Terengganu dan Kelantan.

"Dua premis telah dikenal pasti, iaitu di Kerteh, Kemaman dan Bentong, Pahang manakala bagi dua lagi cawangan iaitu di Kuala Lipis, Pahang dan Kuala Krai, Kelantan, masih dalam proses mencari premis yang sesuai," katanya di Jerteh, semalam.

Setakat ini, terdapat 21 cawangan di tiga negeri itu dan kira-kira 200 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di luar cawangan.

Selain itu, beliau berkata produk Pembiayaan Peribadi-i Aslah yang ditawarkan bank itu masih merupakan produk utama yang mendapat sambutan menggalakkan pelanggan.

Di segi pasaran, katanya pembiayaan peribadi yang ditawarkan bank itu masih merupakan antara peneraju utama namun ia semakin mendapat saingan dari institusi kewangan lain.

"Sehubungan itu, Bank Rakyat sentiasa mengadakan promosi seperti langgan dan menang dan cabutan bertuah setiap bulan untuk menarik minat pelanggan," katanya.

No comments:

Post a Comment