Thursday, April 28, 2011

GDW Alor Limbat Rangsang Aktiviti Ekonomi Penduduk

Gerakan Desa Wawasan (GDW) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Limbat merancang beberapa projek ekonomi bagi meningkatkan pendapatan penduduk kampung.

Pengerusi GDW Kampung Alor Limbat, Zaki Ali berkata antara projek ekonomi yang akan diwujudkan adalah membina rumah burung walit, penanaman kelapa sawit, getah dan pembinaan rumah-rumah kedai untuk disewa bagi menjana pendapatan penduduk kampung.

"Sebelum ini kita sudah ada sebuah rumah burung walit yang mempunyai 10,100 sarang yang mampu menghasilkan pendapatan antara RM15,000 dan RM20,000 sekali pungut.

"Dengan pembinaan sebuah lagi rumah burung itu, ia dijangka dapat meneguhkan lagi pendapatan penduduk kampung itu," katanya kepada Bernama di sini.

Zaki, yang juga Timbalan Pengerusi JKKK kampung itu, berkata pihaknya juga mengusahakan tanaman pisang seluas tiga hektar yang mampu menghasilkan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Selain itu, katanya kira-kira enam hektar ladang sawit yang diusahakan diunjurkan dapat mengeluarkan hasil akhir tahun ini.

Hasil lain yang diperoleh ialah penyewaan rumah-rumah kedai di kampung itu oleh Majlis Daerah Marang yang diserahkan pengendalian kepada GDW itu.

Katanya semua hasil ekonomi sama ada daripada sumber pertanian atau penyewaan premis perniagaan, akan dimasukkan ke dalam Koperasi Penduduk Kampung Alor Limbat Sendirian Berhad dan kemudiannya diagihkan kepada penduduk yang menjadi ahli.

Zaki berkata sejak tahun lepas pihaknya telah memperkenalkan satu program kepada penduduk kampung iaitu Program Kitchen Garden, dengan menggalakkan penduduk kampung menanam sayur-sayuran di sekitar rumah untuk keperluan sendiri.

"Kita bekalkan benih untuk mereka tanam pelbagai sayur. Biarpun kawasannya sempit, namun ia mampu menampung serba sedikit keperluan sendiri. Ia menjimatkan perbelanjaan keluarga," katanya.

Zaki berkata komuniti Kampung Alor Limbat sangat aktif dan setakat ini berjaya memenangi 12 anugerah berprestij sejak 2002, antaranya johan Anugerah Kampung Terbersih Terengganu dengan membolot hadiah bernilai RM1 juta.

Lain-lain anugerah termasuklah johan pertandingan Komuniti Bestari (K-Bestari) peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

Katanya sektor pertanian, ternakan merupakan hasil utama penduduk kampung itu, yang memberikan pendapatan antara RM8,000 dan RM14,000 sebulan hasil perolehan kelapa sawit, getah serta ternakan.

Kampung yang mempunyai kira-kira 1,191 penduduk dengan 191 buah rumah itu turut menjadi pusat pengeluaran buah-buahan bermusim seperti duku, durian, rambutan, nenas dan salak setiap tahun.

No comments:

Post a Comment