Monday, April 25, 2011

JANGAN BIARKAN GANGSTERISME SEKOLAH BERTAPAK DI TERENGGANU

Oleh Hambali Abdul Latiff

PELAJAR yang dibelasah oleh sekumpulan pelajar sekolah agama dalam kejadian 7 April lalu, menahan kesakitan.

Gangsterisme di sekolah khususnya di Terengganu perlu dibendung segera dan jangan dibiarkan bertunas.

Perbuatan seperti ini bukan sahaja suatu gejala buruk di kalangan pelajar tetapi ia bukan budaya orang Terengganu.

Kejadian membalas dendam dengan memukul seorang pelajar sekolah agama di Marang oleh kira-kira 20 pelajar sekolah agama lain pada 7 April lalu, jangan dianggap kes terpencil.

Perbuatan menyerang pelajar lain di kawasan sekolah bukan boleh dipandang ringan dan diharapkan Jabatan Pelajaran Negeri, sekolah dan polis melihat kes ini sebagai kes yang perlu diberikan perhatian serius.

Jabatan Pelajaran Negeri dan polis sudah mengambil tindakan awal menyiasat kejadian membabitkan kumpulan pelajar berkenaan.

Kejadian dua minggu lalu apabila sekumpulan lebih 20 pelajar sebuah sekolah menengah agama di Marang menyerbu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang untuk memukul seorang pelajar tingkatan lima, sangat memalukan.

Ini kerana ia berlaku di kalangan pelajar sekolah agama yang sepatutnya mereka ini adalah kumpulan contoh bagi sekolah-sekolah lain di negeri ini.

Pelajar sekolah agama sepatutnya berhemah tinggi dan tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undangan kerana kejadian itu sedikit sebanyak menggambarkan kedudukan sebenar perlajar sekolah agama di negeri ini.

Serangan ala gengster pukul 11 pagi itu berlaku apabila kesemua pelajar terbabit menceroboh sekolah mangsa lalu pergi ke kelas Wan Nur Azri Wan Mohamad, 17, selepas waktu rehat, sebelum membelasahnya di belakang bangunan makmal.

Mangsa dari Kampung Bukit Surau Haji Daud, Marang cedera di muka, dahi dan belakang badan akibat dibelasah kumpulan pelajar terbabit.

Kumpulan pelajar itu datang ke sekolah berkenaan dengan menaiki kenderaan dari sekolah mereka yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Tindakan polis mereman sebelas pelajar yang disyaki terbabit dengan kejadian itu sehingga hari ini untuk membantu siasatan polis kerana menceroboh sekolah berkenaan dan membelasah pelajar tingkatan lima itu, sangat dialu-alukan.

Kita mengucapkan tahniah kepada polis kerana tindakan cepat untuk menahan kesemua pelajar tingkatan tiga, empat dan lima di rumah masing-masing tengah malam pada hari kejadian sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk siasatan.

Kumpulan pelajar itu direman tiga hari dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah.

Apa yang dapat dilihat daripada kes ini ialah kumpulan pelajar itu bukan sahaja mengambil tindakan tanpa segan silu menceroboh sekolah dan kelas, tetapi bertindakan mengikut perasaan dan mengamalkan ‘undang-undang rimba’.

Menurut siasatan awal polis, pelajar yang dibelasah itu mempunyai masalah dengan rakan sekelasnya. Tetapi rakannya itu memanggil sekumpulan pelajar dari sekolah lain untuk membelasahnya.

Walau apa juga sebab, sama ada pertelingkahan atau persengketaan sesama pelajar, mengambil tindakan cara gangsterisme ini tidak wajar diamalkan sama sekali.

Ia bukan sahaja biadap tetapi tindakan seperti itu sama sekali tidak wajar dilakukan oleh pelajar sekolah.

Hukuman setimpal sewajarnya perlu dikenakan.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Razali Daud, mengakui pihak sekolah sudah membuat laporan polis mengenai kejadian membabitkan pelajar tingkatan lima itu.

Jabatan Pelajaran Negeri memandang serius kejadian pelajar menceroboh sekolah lain dan memukul pelajar di sekolah berkenaan.

Yang melegakan ialah, pihak berkuasa sudahpun melakukan tindakan sewajarnya apabila semalam (24 April 2011), lapan pelajar berumur antara 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh kawasan sekolah dan memukul seorang pelajar sekolah agama berkenaan.

Kesemua tertuduh terdiri daripada empat pelajar Tingkatan Lima, seorang pelajar Tingkatan Empat dan tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Marang.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Mahathir Mohd Yusof secara tertutup di hadapan Majistret Nur Azizah Yusoff.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menceroboh sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di sini, antara 11 pagi hingga 11.30 pagi 7 April lalu.

Perbuatan itu merupakan kesalahan bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk pertuduhan kedua, kesemua pelajar itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 17 tahun, pada masa dan tempat yang sama.

Kesalahan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman satu tahun penjara atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Semua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,500 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan.

Kita menunggu apakah kepoutusan Majistret yang akan menyebut semula kes ini pada 24 Mei depan sementara menunggu laporan akhlak kesemua tertuduh.
Ibubapa jangan menganggap hukuman ini sebegai mahu mendera atau menyusahkan anak mereka tetapi ia suatu pengajaran.

Gangsterisme bukan budaya pelajar Terengganun dan mengambil tindakan dengan ‘tangan sendiri’ adalah salah kerana kita ada polis untuk melakukan tindakan sejawarnya.

Semua pihak perlu melihat kes ini dengan terbuka dan jangan menganggap Jabatan Pelajaran Negeri dan polis bertindak sebagai menyusahkan pihak-pihak tertentu.

Jika budaya ini dapat dihentikan, apalagi ia berlaku di sekolah agama, pelajar bukan sahaja diajar mematuhi undang-undang tetapi yang penting mereka akan belajar bahawa adalah salah mengambil tindakan berteraskan balas dendam dan ikut perasaan.

Selain jangan biarkan kes ini berulang, semua pihak perlu menggembleng, membendung dan menyekat budaya gangsterisme di kalangan pelajar di Terengganu ini agar pelajar lebih berdisiplin dan cemerlang bagi tujuan masa depan mereka.

Nota: Sebahagian bahan ini pernah diulas melalui 'BICARA TERENGGANU KITA', Terengganu FM, 8 April 2011.

No comments:

Post a Comment