Monday, April 18, 2011

Kempen Keselamatan Penunggang Motosikal ke Terengganu


Kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya membabitkan penunggang motosikal telah menarik lebih 1,000 remaja menyertai program anjuran sebuah syarikat swasta di Dataran Ipoh kelmarin.

Acara dianjurkan oleh Ride It Right Management Sdn Bhd bersama UMW Pennzoil Distributors Sdn Bhd itu ternyata menarik minat kumpulan remaja bermotosikal dari seluruh negeri Perak.

Mereka berusia antara 17 hingga 25 tahun itu yang tampil dengan pelbagai model motosikal menyertai konvoi mengelilingi Bandaraya Ipoh sejurus majlis pelepasan dilakukan oleh Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh Rodzi Rajab dan Ketua Pegawai Eksekutif Ride It Right, Suhaimi Abd Jalil.

Pengurus projek kempen berkenaan, Fadzil Ibrahim berkata, kempen yang diadakan itu lebih bertujuan mendekati permasalahan sosial remaja dalam gejala lumba haram yang sering menjadi isu dalam masyarakat.

Bandaraya Ipoh adalah destinasi terbaru kempen berkenaan selepas pihaknya berjaya menarik puluhan ribuan peserta di empat negeri membabitkan Pahang, Melaka, Pulau Pinang dan Kangar, Perlis, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kempen ini membuka mata ramai pihak terhadap isu keselamatan jalan raya selain kaedah bagi membanteras gejala sosial di kalangan remaja melalui pendekatan lebih menarik.

"Melalui kempen ini, kami bukan sekadar mengadakan konvoi motosikal malah turut mengadakan sesi demontrasi pemanduan selamat oleh bekas juara perlumbaan motosikal cup prix selain sesi berkongsi keinsafan oleh bekas `mat rempit',' katanya.

Kempen ini turut menyelitkan pertandinganlumba motosikal yang terbuka kepada golongan belia dengan dua peserta terbaik akan dipilih dan bertanding di peringkat akhir di litar Sepang pada bulan Oktober kelak.

Acara kemuncak itu nanti akan dirasmikan Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Razak, katanya. Menurutnya, juara perlumbaan itu akan dipilih menyertai akademi 'Ride it Right' dan menjadi wakil pasukan motosikal Cup Prix Pennzoil.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran UMW Peenzoil Distributors Sdn. Bhd., Shamsul Nahar Md Kidam berkata kempen jelajah itu akan diteruskan ke Kedah pada 30 April ini sebelum diikuti Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

No comments:

Post a Comment