Monday, April 25, 2011

Kerajaan Negeri Peruntuk RM8j Bagi Perpustakaan Baru Setiu

Usaha memupuk budaya membaca dan melahirkan masyarakat berilmu giat dilakukan Kerajaan Negeri dan kini, warga Setiu bakal menikmati kemudahan perpustakaan baru apabila prasarana itu siap sepenuhnya bulan depan.

Pengarah, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPANT), Nor Akma Abdul Fatah berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8 juta bagi pembinaan perpustakaan di Setiu dengan pelbagai kemudahan yang disediakan antaranya makmal komputer, bilik multimedia, dewan seminar dan sebagainya.

Menurutnya, perpustakaan ini bakal beroperasi selewat-lewatnya Mei ini dengan menyediakan 100,000 naskhah bahan bacaan pelbagai genre untuk semua lapisan masyarakat dengan kapasiti 500 pengunjung dalam satu-satu masa.

“Selain itu kita juga merancang menambahkan perkhidmatan perpustakaan bergerak dalam usaha menyediakan kemudahan bahan bacaan kepada masyarakat terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar.

“Ketika ini kita hanya mempunyai empat perpustakaan bergerak bagi kawasan Besut, Kemamam, Marang dan juga Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2011 kelmarin.'

Hadir sama, Pengarah Bank Simpanan Nasional (BSN), Cawangan Terengganu, Mohd Hafis Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Kampus Kuala Berang, Taib Abd Rahim.

Nor Akma berkata, sempena majlis sambutan ini, pelbagai program diadakan bertujuan memperingati hari buku dan hak cipta sedunia, selain mempromosikan budaya membaca dan penerbitan buku kepada masyarakat umum.

“Sehingga kini kita sudah mempunyai 400,000 ahli di seluruh negeri ini dan menyasarkan 5,000 ahli baru setiap tahun serta berharap menjelang 2015, kita berjaya mempunyai ahli separuh daripada jumlah rakyat di Terengganu.

“Program sambutan sehari ini merangkumi pelbagai aktiviti yang memfokuskan pengajian dan pembelajaran melalui kursus motivasi bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain acara sampingan lain,” katanya.

Difahamkan seramai 400 pelajar daripada 24 sekolah menyertai Program Kecemerlangan Peperiksaan 2011 anjuran PPANT dengan kerjasama BSN, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu dan Yayasan Islam Terengganu dan Yayasan Pembangunan Keluarga.

No comments:

Post a Comment