Thursday, April 21, 2011

Kompleks Tabung Haji Kuala Terengganu Siap Julai Tahun Depan


Pembinaan Kompleks Tabung Haji Kuala Terengganu (KTHKT) di Mukim Kuala Nerus di Kuala Terengganu, dijangka siap mengikut jadual, kata Pengurus Besar Kanan Kewangan Korporat dan Perkhidmatan Lembaga Tabung Haji (TH) Mohd Hisham Harun.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan kompleks yang menelan belanja RM70.3 juta itu telah dimulakan dan kini lima peratus siap.

"KTHKT dijangka dapat memulakan operasi pada Julai tahun depan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian zakat Tabung Haji kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Kuala Terengganu, semalam.

TH memperoleh kelulusan tanah pada Jun 1995 untuk membangunkan KTHKT di atas tanah seluas kira-kira 3.2 hektar berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

Kompleks itu dibangunkan oleh TH Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TH.

Pembinaan kompleks tersebut merupakan satu langkah TH meningkatkan lagi perkhidmatannya kepada jemaah haji terutamanya dari Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Mohd Hisham berkata kompleks itu akan dilengkapi hotel dengan 182 bilik, dewan bankuasi serbaguna, kolam renang untuk lelaki dan perempuan serta pelbagai kemudahan lain.

Jelasnya, KTHKT direka bentuk khas bagi kegunaan pada musim haji dengan mempunyai dewan ketibaan khas untuk jemaah, tempat mendaftar dan imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas.

Katanya kompleks itu juga menyediakan kemudahan dewan seminar yang boleh memuatkan sehingga 1,000 orang.

Kompleks itu akan digunakan untuk urusan operasi penerbangan haji secara terus ke Jeddah dan Madinah tanpa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, TH menyampaikan zakat bagi pihak pendeposit TH di Terengganu sebanyak RM2,931,925.89 dan zakat anak syarikat TH, TH Travel & Services Sdn Bhd sebanyak RM150,000 kepada Tengku Sri Bendahara Raja, Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud yang mewakili Maidam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman.

No comments:

Post a Comment