Thursday, April 28, 2011

Konsultan Kaji Struktur Bumbung Stadium - Za'abar

Kerajaan Negeri sudah membuat keputusan melantik konsultan bagi melaksanakan kajian integriti terhadap struktur bumbung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruk-tur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, kajian yang akan dilakukan itu melibatkan struktur bumbung yang masih ada dan hasil daripada kajian itu nanti akan digunakan dalam mengemukakan cadangan pembinaan bumbung baru stadium.

Menurutnya, kerja kajian itu kini giat dilaksanakan dan dijangka selesai dalam masa tiga hingga empat bulan sebelum cadangan dari segi teknikal dikemukakan kerajaan.

“Selepas kita menerima keputusan kajian ini, kerajaan akan mengambil tindakan susulan terhadap cadangan yang diberikan bagi membina bumbung baru dan melakukan kerja membaik pulih sebagaimana disarankan pihak konsultan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung ke-35Persatuan Kontraktor Melayu Negeri Terengganu (PKMNT) di Ri-Yaz Heritage, Marina Resort & Spa kelmarin.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMNT, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Pada 2 Jun 2009, bumbung stadium yang menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak itu runtuh menyebabkan separuh daripada strukturnya musnah.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi itu melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

No comments:

Post a Comment