Tuesday, April 12, 2011

Loji Teknologi Singkir Gas Pencemar Daripada Tempurung Kelapa Sawit Di Bina di Besut

Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan teknologi bahan penyerap mesra alam daripada tempurung kelapa sawit yang berkesan dan berupaya dalam penyingkiran gas pencemar secara serentak.

Ketua Penyelidik Prof Abdul Rahman Mohamed berkata penyelidikan selama lima tahun itu berpotensi untuk digunakan secara meluas dalam industri apabila ia membantu menyingkirkan gas pencemar seperti karbon dioksida, sulfur dioksida dan nitrogen oksida.

"Gas pencemar itu dihasilkan semasa proses pembakaran dalam industri untuk menjana stim atau tenaga dan dibebaskan bersama-sama dengan gas cerobong," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang, semalam.

Katanya bahan penjerap mesra alam yang dihasilkan daripada bahan buangan tempurung kelapa sawit itu boleh diaplikasikan dalam industri tanpa memerlukan perubahan besar kepada sistem industri yang sedia ada.

Beliau berkata bahan penjerap itu bertindak sebagai penapis yang akan menyekat gas yang disalurkan menerusi cerobong gas kepada gas pencemar tersebut.

"Hanya gas yang bebas daripada gas pencemar akan melaluinya, sebenarnya gas pencemar itu amat berbahaya kerana karbon dioksida adalah punca utama pemanasan global manakala nitrogen oksida dan sulfur dioksida menyebabkan hujan asid," katanya.

Abdul Rahman berkata bahan penjerap itu adalah pertama di Malaysia dengan kos yang paling murah iaitu serendah RM5.

Beliau berkata USM telah menandatangani memorandum dengan Yayasan Felda untuk diuji di loji kelapa sawit dan diubahsuai mengikut keperluan loji tersebut yang dibangunkan di Besut, Terengganu dan Sungkai, Perak.

Bahan penjerap itu dibangunkan oleh tujuh penyelidik USM dengan kerjasama Yayasan Felda dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) berjumlah RM300,000.

No comments:

Post a Comment