Monday, April 18, 2011

MB Bidas Pelajar Cemerlang Kandas Di Luar Negara


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Jumaat lalu (15 April 2011) menyelar segelintir pelajar cemerlang anak negeri ini yang dibiayai dana awam melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi gagal menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan kerana pelbagai sebab terutama sibuk berpolitik dan menghentam kerajaan.

Sambil menyifatkan kegagalan menamatkan pengajian sangat mendukacitakan kerana menghabiskan wang rakyat, Ahmad berkata, apa lebih mengecewakan apabila kumpulan berkenaan sibuk menyertai politik pembangkang dan menghentam kerajaan di luar negara.

“Kerajaan membiayai pelajar cemerlang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang profesional seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan dan penerbangan supaya mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Bagaimanapun, kerajaan kesal kerana ada segelintir pelajar gagal menghabiskan pengajian mereka biarpun berpuluh-puluh tahun berada di luar negara sehingga membazirkan wang rakyat serta mengecewakan keluarga,” katanya pada perasmian Mesyuarat Agung Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru (MPIBG) ke-34 dan Anugerah Kurnia Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasik, Kemaman, Jumaat lalu.

Sebelum ini, institusi kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mendedahkan sekumpulan pelajar tajaannya belum menghabiskan pelajaran walaupun sudah 12 tahun di Mesir.

Tanpa menyatakan jumlah pelajar, MAIDAM bagaimanapun menetapkan pelajar tajaannya hanya diberi peluang mengulang dua tahun dan selepas itu tajaan ditarik balik.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pelajar tajaan kerajaan negeri sepatutnya menggunakan peluang menghabiskan pelajaran dalam tempoh ditetapkan dan kembali semula untuk mencurahkan khidmat bukannya menentang kerajaan.

Kerajaan negeri memperuntukkan 30 peratus daripada bajet negeri dalam bidang pendidikan bagi memastikan kelangsungan pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif membantu menyemarakkan kecemerlangan pendidikan dalam pelbagai peperiksaan awam.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment