Sunday, April 17, 2011

Menabunglah Demi Pendidikan Anak-Anak - Ahmad Said

Menteri Besar ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasek, Jumaat (15 April 2011).

Ibu bapa di negeri ini diminta menabung sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membiayai pendidikan anak-anak, khususnya untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kebanyakan ibu bapa khususnya dari kalangan masyarakat Melayu tidak menabung untuk pendidikan anak-anak mereka.

“Orang Melayu akan minta bantuan kerajaan dan wakil rakyat setiap kali anak mereka masuk ke IPT.

Ini berbeza dengan kaum Tionghua kerana mereka tidak pernah meminta bantuan wakil rakyat untuk membeli keperluan anak-anak ke universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasek, Jumaat lalu.

SMK merupakan sekolah terbaik di Terengganu bagi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat (APMT), Encik Roshali Taha.

Menteri Besar berkata, setiap kali musim kemasukan ke IPT, ibu bapa akan mengunjungi wakil rakyat di kawasan mereka untuk meminta bantuan kewangan bagi membeli keperluan anak-anak mereka memasuki IPT.

Beliau berkata, keadaan itu tidak akan berlaku jika ibu bapa menanbung sejak awal lagi bagi menyediakan bantuan kewangan untuk anak-anak mereka.

“Kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan kewangan untuk kemasukan ke IPT, tetapi ibu bapa masih lagi meminta daripada wakil rakyat,” katanya.

Katanya, sikap terlalu begantung kepada kerajaan dan wakil rakyat perlu dihapuskan dan masyarakat sepatutnya boleh berdikari dengan segala bantuan yang telah dicurahkan oleh kerajaan.

Sebagai ‘buah tangan’ kepada kejayaan sekolah tersebut muncul sekolah terbaik SPM2010, Menteri Besar meluluskan permintaan pihak sekolah untuk mendapatkan sebuah bas bagi kegunaan pelajar.


Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment