Saturday, April 23, 2011

Misi selamat terumbu karang

Biarpun anak Terengganu sering dianggap pencinta lautan, namun bukan semua arif dengan khazanah marin terutama terumbu karang yang menghuni samudera di kepulauan negeri ini.

Sehubungan itu, kesempatan menyertai program khusus bagi menzahirkan kecintaan dan kesedaran memulihara terumbu karang dianggap peluang keemasan yang datang bergolek.

Penulis teruja mencuba kelainan dengan mengikuti program Garden International School Children anjuran Reef Check Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempromosikan kecintaan terhadap alam sekitar dalam usaha menyelamat terumbu karang. Program ini dijayakan dengan kerjasama Tanjung Jara Resort dan CIMB Bank, minggu lalu.

Sekalipun hanya berpeluang mengikutinya selama dua hari berbanding jadual tiga minggu yang ditetapkan, penulis amat berpuas hati kerana aktiviti yang dikendalikan di Tanjung Jara Resort dan Pulau Tenggol, Dungun mencabar minda dan membuka mata terhadap rahsia alam.

Paling menarik, program ini disertai kira-kira 50 orang termasuk 33 peserta cilik berusia 10 hingga 12 tahun termasuk 18 pelajar tempatan dari tiga sekolah di Dungun iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Dungun, SK Pulau Serai dan SK Kuala Abang. Tidak ketinggalan, pelajar dari dua sekolah antarabangsa cawangan Kuantan, Pahang dan Kuala Lumpur.

Biarpun berdepan dengan sedikit masalah komunikasi, ia tidak menjadi masalah kerana warga asing yang menyertai program itu sangat peramah malah peserta tempatan bijak menyesuaikan diri.

Pengurus Besar Reef Check Malaysia, Julian Hyde pula bijak menghidupkan suasana malah kebolehannya berbahasa Melayu menjadikan peserta cilik tempatan tidak kekok mendapatkan penerangan mengenai kehidupan marin dan teknik snorkeling.

Adalah menjadi aspirasi Reef Cheek melalui program itu untuk memberi pendedahan berhubung pemuliharaan terumbu karang selain menyuburkan rasa cinta terhadap alam kepada tunas negara.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment