Tuesday, April 5, 2011

Polis Terengganu Kaji Semula Pemberian Permit Senjata Api

Polis Terengganu akan mengkaji semula pengeluaran permit lesen senjata api kepada pertubuhan dan orang perseorangan yang didapati menyalahgunakan permit itu untuk kepentingan peribadi, berikutan beberapa kes kecuaian serta kekerapan pemilik lesen memburu binatang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan, berkata Ketua Polis Daerah kini mengkaji semula permit yang dikeluarkan kepada pemilik senjata api terbabit.

"Amaran keras akan diberikan kepada pemilik senjata api yang menyalahgunakan senjata mereka dan pihak polis tidak ragu-ragu untuk membatalkannya jika didapati mereka berbuat demikian," katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

Beliau berkata, lesen yang diberikan adalah untuk menjaga tanaman dan jika ingin berburu, mereka perlu memohon permit daripada Jabatan Perhutanan.

Katanya, sejak awal tahun lalu hingga April ini, terdapat lima kes membabitkan tertembak orang awam dan empat daripadanya menyebabkan kecederaan manakala satu lagi mengakibatkan kematian.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang kontraktor berusia 37 tahun membuat laporan kira-kira 8.15 malam Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Kuala Berang berikutan penemuan selaras senapang milik sebuah agensi kerajaan di bawah jagaannya.

Beliau mendakwa kehilangan senjata api tersebut hanya disedari pada 12.30 malam ketika pulang daripada berburu bersama empat rakannya di Bukit Aceh, Hulu Terengganu.

Senapang itu ditemui penduduk kampung di tepi jalan di Kampung Tajil, Kuala Berang dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 35 Akta Senjata Api iaitu menyebabkan kehilangan senjata api.

No comments:

Post a Comment