Thursday, April 14, 2011

Program Al-Ansar Untuk Pelajar Pengajian Islam ke Universiti Al-Azhar

Oleh: Shahrir Hamid

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan RM 500,000 bagi membiayai 100 pelajar terpilih melalui program khas Skim Al-Ansar sebagai persediaan melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir.

MAIDAM menetapkan syarat baru ini dan pelajar terpilih akan dihakimi panel daripada Kementerian Pendidikan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA ) serta Yayasan Terengganu.

Program kursus bahasa Arab dan penyesuaian diri yang mendapat kerjasama UniSZA dilancarkan setelah pihak Universiti Al-Azhar mengenakan ujian Bahasa Arab kepada penuntut Malaysia bagi melanjutkan pengajian peringkat ijazah.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman berkata pada siding media di Wisma Darul Iman semalam: “Program khas ini dijalankan selama sebulan bermula 15 Mei hingga 15 Jun 2011 ini.

” Beliau menyatakan demikian pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad dan Bank Rakyat, semalam. Pelajar yang mengikuti Skim Al Ansar itu juga diwajibkan menyertai kursus Biro Tatanegara sebagaimana yang diwajibkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Katanya, dalam peperiksaan dan Imtihan Qabul tahun lalu, seramai 307 atau 47 peratus sahaja pelajar yang lulus daripada 657 pelajar Malaysia yang menduduki peperiksaan itu.

“Pelajar yang lulus termasuk daripada Terengganu, tetapi kita tidak dapat mengesannya kerana mereka tidak melalui MAIDAM dan juga Yayasan Terengganu sebaliknya mereka pelajar persendirian.

“Berasaskan maklumat yang kita terima ada beberapa pelajar dari Terengganu gagal meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar sebagaimana hasrat mereka sebelum bertolak daripada tanah air, disebabkan kegagalan mereka dalam peperiksaan dalam Imtihan Qabul tersebut,” katanya.

Wan Harujan berkata kegagalan dalam peperiksaan itu menyebabkan pelajar terpaksa mengikuti kelas Bahasa Arab yang kemungkinan dianjurkan oleh pihak universiti atau Maahad di Mesir.

Beliau berkata, dalam situasi begini, MAIDAM tidak boleh membayar bantuan penuh berjumlah RM5,000 setahun disebabkan mereka hanya menuntut di Maahad dan bukan di universiti bagi mengikuti kursus ijazah.

Menurutnya, pelajar terbabit layak dipertimbangkan sebagai penerima bantuan am, iaitu RM1,000 hingga RM2,000 sahaja dan tanggungan pembiayaan berbaki perlu ditanggung oleh ibu bapa pelajar.

Dalam hal itu, katanya, MAIDAM memutuskan pelajar yang ditaja oleh MAIDAM hendaklah diberikan kursus asas terlebih dahulu yang merangkumi pengajian Bahasa Arab dan perihal serta perkara yang berkaitan masyarakat Arab supaya dapat lulus dalam peperiksaan dan Imtihan Qabul.

Jelas beliau lagi, pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 5 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan keputusan A dalam Bahasa Arab layak memohon dan pelajar terpilih di bawah skim ini layak menerima bantuan Dermasiswa.

Pelajar yang menerima bantuan Dermasiswa mendapat tajaan penuh MAIDAM bagi melanjutkan pelajaran ke Asia Barat dalam bidang pengajian Islam. Menurut Haji Harujan, pelajar terpilih boleh membuat pilihan melanjutkan pelajaran ke tiga buah universiti diiktiraf di Jordan iaitu Universiti Yarmouk, Universiti Mu’tah serta Universiti Al-Bayt yang bekerjasama dengan MAIDAM .

Sementara Teganukita melaporkan, MAIDAM juga kini membantu pelajar bagi menguruskan permohonan mereka untuk melanjutkan pelajaran di tiga universiti yang ditetapkan oleh MAIDAM di Jordan untuk kemasukan September ini.

Katanya, MAIDAM akan membiayai sepenuhnya tambang penerbangan, selain menguruskan kos dan penterjemahan keputusan SPM pelajar dalam Bahasa Arab, diikuti pengesahan di Wisma Putra serta penyediaan visa.

“Mudah-mudahan bantuan MAIDAM kepada pelajar dan ibu bapa yang tidak biasa dengan urusan permohonan dokumen melanjutkan pelajaran ke luar negara dan lazimnya menggunakan ejen dengan kadar bayaran tertentu, akan dapat melancarkan urusan mereka serta menyambung pelajaran dengan baik di Jordan,” katanya.

No comments:

Post a Comment