Norfarhan (tengah) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol kedua T-Team ketika menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. T-Team menang 4-3.
Selangor berjaya melonjakkan diri ke tangga teratas Liga Super setelah mencatat kemenangan 2-1 ke atas Harimau Muda A pada perlawanan di Stadium Shah Alam semalam pada ketika Kelatan tewas.
Pendahulu liga sebelum ini, Kelantan mengalami nasib berbeza apabila tewas 3-4 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Ini bermakna reputasi Kelantan selaku kuasa bola sepak Malaysia akhirnya tercalar di Kuala Terengganu malam tadi pada aksi penuh mendebarkan.
Kelantan yang turun selaku pendahulu Liga Super tewas 3-4 kepada pasukan berstatus kelab, T-Team yang sekali gus turut menebus kekecewaan mereka selepas disingkirkan Kelantan pada aksi Piala FA sebelum ini.
Lebih manis lagi, dua daripada tiga gol yang dijaringkan T-Team semalam disumbangkan bekas pemain Kelantan, Norfarhan Mohammad dan Indra Putra Mahyuddin.
T-Team yang dibimbing Yunus Alif membuka jaringan pertama pada minit ke-21 menerusi Zairo Anuar Zailani hasil sepakan percuma.
Norfarhan terus menambah derita bekas pasukannya itu dengan gol kedua pada minit ke-46. Jaringan itu hadir hasil gerakan solo pemain pertahanan, Norfarhan yang berjaya menggelecek empat pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kencang yang menerjah jaring.
Bersambung babak kedua, gawang Kelantan yang dikemudi Khairul Fahmi bolos lagi, kali ini menerusi jaringan cantik Indra pada minit ke-51.
Pasukan pelawat cuba merapatkan jurang gol, namun beberapa percubaan daripada Norshahrul Idlan Talaha gagal membuahkan hasil.
Bagaimanapun pada minit ke-62, Kelantan berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah.
Dua minit kemudian, pasukan pelawat menambah gol kedua hasil percubaan jarak jauh S. Chanthuru yang berjaya menewaskan Syamsuri Mustafa.
Kealpaan Kelantan memburu gol penyamaan bagaimanapun dihukum tuan rumah dengan gol keempat minit ke-79 mene- rusi Haris Safwan Kamal.
Namun, Danial Fadzly terus memberi tekanan apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan hasil sepakan penalti pada minit ke-86.
Akibat kekalahan tersebut, Kelantan kini jatuh ke tangga ketiga liga dengan kutipan 17 mata. Selangor kini mengumpul 20 mata iaitu satu mata di hadapan pencabar terdekat, Perak selepas sembilan perlawanan. Harimau Muda A terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-6 menerusi Mohamad Fandi Othman.
Pada babak kedua perlawanan, tertekan dengan jaringan pihak lawan, Selangor memperolehi jaringan pertama menerusi Mohd Asaruddin Putra Omar pada minit ke-80.
Gol kemenangan skuad bimbingan K. Devan itu akhirnya disumbangkan oleh Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-84.
Turut berjaya memperbaiki kedudukan hasil kemenangan Selasa ialah Perak yang kini menduduki tangga kedua liga hasil kemenangan 2-1 ke atas Perlis di Stadium Perak, Ipoh.
Pasukan pelawat, Perlis terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-42 menerusi Azwan Zainon. Gol Perak disumbangkan oleh Shahrulnizam Mustafa pada minit ke-56 dan Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-88.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Johor FC mengalahkan Kedah 2-1. Gol bagi Johor FC disumbangkan oleh Fendi Ahmad (minit ke-37) dan Mohd Rashid Mohd Aya (minit ke-52). Manakala gol saguhati Kedah dijaringkan oleh Mohd Khyrel Muhymeen pada minit ke-52.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Kuala Lumpur menang tipis ke atas Negeri Sembilan 1-0, hasil jaringan Mohd Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-5. Felda United pula seri 1-1 dengan Sabah pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
No comments:
Post a Comment