Tuesday, April 12, 2011

TADC Sasar Hasilkan 30,000 Tongkol Jagung Hibrid Sehari

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pernah melawat ladang tanaman jagung hybrid di Hulu Terengganu, tahun lalu.

Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) menjangka mampu mengeluarkan sebanyak 30,000 tongkol jagung hibrid sehari apabila ladang tanamannya di Kampung Nibong, Telemong mula mengeluarkan hasil akhir bulan ini.

Pengerusinya, Razali Idris berkata fasa pertama projek penanaman jagung hibrid itu mula dilaksanakan pada pertengahan Februari lepas di tanah seluas lapan hektar.

Sebelum ini, katanya, tanah di kawasan itu yang kebanyakannya dimiliki oleh orang kampung hanya terbiar selepas tidak lagi diusahakan dengan tanaman padi tetapi kini mula menjadi projek tanaman jagung hibrid hasil inisiatif TADC.

"Ia kini mula mengeluarkan hasil dan TADC menjangkakan ia akan dapat dituai pada 23 April nanti dengan setiap hektar mampu menghasilkan lebih 10,000 jagung hidbrid bermutu tinggi untuk pasaran tempatan dan luar negara," katanya di Hulu Terengganu, semalam.

Jagung hibrid bermutu tinggi itu boleh dituai dalam tempoh dua bulan selepas ditanam dan tanaman itu boleh diusahakan tiga kali dalam setahun.

Katanya, dengan kejayaan itu TADC juga merancang untuk memperluaskan projek tanaman jagung itu kepada lebih 121 hektar tahun ini bagi menampung permintaan terhadap tanaman itu.

"Projek tanaman jagung hibrid sebelum ini telah melalui fasa percubaan sebanyak 15 pusingan dan hasilnya didapati amat berkualiti tinggi sehingga mendapat permintaan yang mengalakkan daripada pengusaha tempatan serta Nelson's Franchise (M) Sdn Bhd (Nelson's).

"Jadi kita mengharapkan dengan perluasan projek tanaman sehingga lebih 121 hektar nanti ia bukan sahaja mampu menampung permintaan pasaran tempatan tetapi juga luar negara, kata Razali.

Menurutnya projek itu juga dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada 150 penduduk tempatan yang terdiri daripada peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

No comments:

Post a Comment