Kerajaan negeri menyusun pelbagai perancangan dan kaedah rapi bagi memastikan Terengganu muncul antara negeri pengeluar utama tebu telur di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Asha'ari Idris, berkata bagi memastikan hasrat itu tercapai, kerajaan bakal melaksanakan projek penanaman yang berskala besar di Kampung Bukit Muntok, Setiu, pada tahun ini.
Katanya, kerja pembersihan tapak dalam fasa pertama seluas 12 hektar melibatkan peruntukan RM150,000 sudah selesai dan kini diikuti dengan kerja perparitan bagi membolehkan 30 peserta projek itu memulakan penanaman tidak lama lagi.
“Jika penanaman tebu telur ini sesuai dengan keadaan negeri ini, kita akan memperluaskan lagi kawasan penanamannya ke tempat-tempat lain,” katanya selepas melancarkan seminar peraturan, penggredan, pembungkusan dan pelabelan keluaran pertanian (peraturan 3P) bagi Zon Timur, di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, kelmarin.
Ashaari yakin penanaman tebu telur yang sebahagian besarnya bertujuan untuk membuat air tebu dan menjadi antara minuman popular di negara ini, mampu memberi pulangan lumayan kepada peserta memandangkan permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan juga luar negara.
Katanya, beberapa pegawai di Jabatan Pertanian Negeri Terengganu sudah ke Negeri Sembilan selaku pengeluar terbesar tebu telur, bagi melakukan penyelidikan dan melihat kaedah penanaman yang boleh dilaksanakan di negeri ini.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment