Ahmad Said bertanyakan sesuatu kepada Kamarudin ketika beliau mengunjungi Menteri Besar di pejabatnya di Wisma Darul Iman, Khamis lalu. - Gambar Harith Fadzilah
Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk menjadikan negeri itu sebagai hab penerbangan AirAsia bagi pantai timur Semenanjung.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri juga merancang untuk mengadakan kerjasama dengan AirAsia bagi melatih anak-anak Terengganu sebagai juruterbang dan jurutera syarikat tersebut.
"Baru-baru ini kita telah mengadakan rundingan dengan AirAsia bagi menjadikan Terengganu sebagai hab penerbangan AirAsia di sebelah pantai timur serta melatih anak-anak Terengganu menjadi juruterbang serta dan jurutera.
"Rundingan seterusnya akan diadakan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita semalam.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun. Khamis lalu mengunjungi Ahmad Said di pejabatnya.
Beliau turut melawat Pejabat Unit Komunikasi Negeri di Kuala Terengganu.
Ahmad Said berkata sebelum ini kerajaan negeri bekerjasama dengan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) untuk melatih rakyat Terengganu menjadi juruterbang serta jurutera dan bekerja dengan MAS setelah tamat mengikuti kursus.
Beliau sebelum itu merasmikan kejohanan Terengganu World Invitational Jetrace Challenge (TWIJC) 2011 anjuran kerajaan negeri dan Kelab Terengganu Marina pada Jumaat malam.
Kejohanan berlangsung di Ri-Yaz Marina and Spa, Pulau Duyong selama tiga hari.
Beberapa nama besar yang menyertai kejohanan kali kedua ini antaranya Amy Green dari Amerika Syarikat, Paolo M. Collini (Kanada), Mehdi Menad (Perancis), Pancho Marjak (Finland), Seth Milkinson (United Kingdom) dan Toshi Ohara (Jepun).
Kejohanan disertai oleh 60 peserta dengan 25 pasukan yang menyediakan hadiah keseluruhan RM114,500 melibatkan lapan kategori antaranya Novice Runabout 4-Stroke Stock, Expert Runabout Open (Malaysia saja), Veterans Runabout Open, Pro-am Runabout 4-Stroke Stock dan Women Runabout Open.
No comments:
Post a Comment