Saturday, May 21, 2011

4,000 Veteran Parti Bantu Sampaikan Mesej Perjuangan UMNO

Ahmad Said beramah mesra dengan sebahagian peserta yang hadir pada program Mesra Veteran UMNO Bersama Pemimpin di Hulu Terengganu, kelmarin.

Golongan veteran UMNO diminta membantu menyampaikan mesej perjuangan parti itu kepada generasi muda agar mereka tidak terpedaya dengan janji kosong yang dicanang oleh pembangkang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said berkata, dengan kekuatan veteran UMNO seramai 45,000 orang di seluruh negeri, mesej perjuangan parti lebih mudah disampaikan. "Kalangan veteran UMNO pernah melalui pelbagai kesukaran untuk mempertahan dan memperjuangkan parti demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Semangat inilah perlu diserapkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Mesra Veteran UMNO Bersama Pemimpin peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang, kelmarin.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Veteran UMNO Perhubungan Negeri Terengganu, Datuk Yahya Hashim dan Pengerusi Majlis Veteran UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Muhammad Mohd. Zain.

Program itu merupakan anjuran Majlis Veteran UMNO negeri dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

Pada majlis tersebut, seramai 21 orang veteran UMNO Bahagian Hulu Terengganu menerima Anugerah Jasamu Dikenang manakala lapan lagi menerima bantuan kerusi roda.

Ahmad Said turut mengingatkan golongan veteran UMNO agar membuang sifat iri hati dan adu domba dalam membantu golongan muda memperjuangkan parti itu.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan golongan veteran UMNO yang berusia 65 tahun ke atas akan diletakkan sebagai perayu undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment