Saturday, May 21, 2011

Ahmad Said - 'Saya Tidak Berdendam Dengan Sesiapa'

Ahmad Said bersalaman dengan barisan perwakilan UMNO Bahagian Setiu sebelum merasmikan mesyuarat agung bahagian itu di Dewan SMK Tengku Ibrahim, Setiu, semalam. - Gambar Harith Fadzilah

Perpaduan di kalangan barisan kepimpinan UMNO negeri kini di tahap semakin baik dan membolehkan momentum jentera parti terus dipertingkatkan dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said membayangkan keadaan itu berdasarkan kesepakatan dan kesediaan yang ditunjukkan hampir kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bergerak bersamanya kini.

"Kita sedang mempersiapkan jentera ke arah pilihan raya dan di Terengganu, usaha ini dilakukan sepanjang masa melalui pelbagai gerak kerja," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, di Setiu, semalam.

Ahmad Said turut menepis gembar-gembur yang terus dimainkan setengah pihak kononnya konflik dalaman parti masih berlarutan apatah lagi ketika soal pemilihan calon semakin menjadi perhatian.

Beliau menegaskan tidak berdendam dengan sesiapa sahaja yang sebelum ini dikatakan sukar menerima kepimpinannya, malah akan terus membuktikan bahawa sikap itu tiada padanya.

Menjawab satu pertanyaan, beliau berkata, tidak timbul soal sesiapa sahaja yang dikatakan tidak disenanginya sukar berpeluang untuk kekal sebagai calon.

Beliau menarik perhatian bahawa mereka yang akan dipilih bukan berasaskan pertimbangan peribadinya tetapi kepentingan rakyat, parti dan negeri.

"Bagi saya tiada masalah. Perasaan saya tidak penting tetapi perasaan rakyat dan juga parti lebih penting. Kalau saya menang tetapi BN kalah buat apa," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, keputusan itu terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersandarkan penilaian pelbagai bahawa bakal-bakal calon benar-benar boleh memenangkan parti.

Sementara itu, kepimpinan tertinggi UMNO dinasihatkan tidak meletakkan calon payung terjun sekiranya berhasrat meletakkan muka baru pada pilihan raya umum nanti.

Ketua UMNO bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee, berkata, jika boleh calon yang bertanding adalah yang terbaik dan cukup dikenali serta disenangi masyarakat setempat.

Bagaimanapun, katanya dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan ahli, UMNO bahagian Setiu yakin dapat terus mengekalkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

“Walaupun masih ada kelemahan perlu diperbaiki namun kita tidak mahu ia menjadi penghalang untuk kita terus mengekalkan kemenangan di Setiu.

“Ahli UMNO digesa tidak mudah mendengar cakap orang yang cuba melemahkan jentera BN kerana perkara diperkatakan tidak semestinya betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Setiu ke-23 di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, semalam.

Menurutnya, setakat ini UMNO bahagian Setiu tidak mempunyai masalah dalam proses pengundian kerana sejak dua penggal lepas pertambahan undi terus meningkat.

“Saya mengharapkan penyokong dan veteran UMNO sentiasa bersama menjalankan tanggungjawab bagi mempertahankan parti dan kerajaan sedia ada demi kesenangan generasi akan datang,” katanya.

Utusan Malaysia/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment