Ejen pembantu rumah Indonesia akan dipertanggungjawabkan termasuk menggantikannya dengan orang baru tanpa melibatkan sebarang kos jika pembantu rumah di bawah penyeliaan mereka melarikan diri daripada majikan.
Selain itu, kerajaan juga mungkin membenarkan majikan menyimpan pasport pembantu rumah asing masing-masing atas faktor keselamatan, berdasarkan persetujuan antara kedua-dua belah pihak.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan (gambar) berkata, kedua-dua perkara tersebut belum dimuktamadkan sementara menunggu perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Indonesia ditandatangani Isnin ini.
"Kementerian akan membangkitkan perkara berkaitan penggantian pembantu rumah tanpa sebarang kos sekiranya pembantu rumah sedia ada melarikan diri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau diminta mengulas persefahaman yang dijangka dicapai antara kerajaan Malaysia dan Indonesia Isnin ini bagi menamatkan masalah pembekuan pembantu rumah Indonesia yang berlarutan sejak Jun 2009.
Sebuah akhbar hari ini memetik Pengarah di Kementerian Transmigrasi dan Buruh Indonesia, Rosmiati sebagai berkata, MoU itu nanti membolehkan pembantu rumah dari negara itu mendapat satu hari cuti dalam seminggu selain pasport mereka disimpan sendiri serta gaji minimum mereka ditetapkan RM600 sebulan.
Mengenai siapa yang berhak memegang pasport, Maznah berkata, berdasarkan peraturan antarabangsa, setiap pekerja mempunyai hak untuk berbuat demikian.
"Namun majikan dibenarkan menyimpan pasport pembantu rumah masing-masing tetapi bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua belah pihak," katanya.
No comments:
Post a Comment