Wednesday, May 4, 2011

Amalkan Gaya Hidup Sihat - Ahmad Said

Ahmad Said (empat dari kiri) melawat gerai pameran selepas menyempurnakan majlis sambutan Hari penyakit Kronik di Setiu semalam.

Rakyat negeri ini diseru sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat termasuk bersenam bagi mengelak diserang penyakit kronik dan mengalami obesiti.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, masyarakat perlu mengubah sikap dengan tidak memandang ringan kegiatan kecergasan atas alasan kesibukan kerja atau urusan keluarga menyukarkan mereka berbuat demikian.


Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti sukan menerusi penganjuran pelbagai program riadah termasuk senamrobik seminggu sekali.

“Banyak aktiviti dan kemudahan sukan kita sediakan untuk rakyat melibatkan diri seperti gelanggang futsal,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis sambutan Hari Penyakit Kronik dan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar; Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nordiyanah Hassan.

Selain itu, Ahmad berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi memastikan anak mereka sentiasa mengambil berat tentang penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Selain senaman yang cukup, amalan pemakanan yang seimbang juga perlu dititikberatkan," katanya sambil mengajak masyarakat agar mencontohi amalan masyarakat berketurunan Cina di negara ini dan rakyat Korea dalam menjaga kesihatan mereka.

Beliau juga kesal kerana masih ada di kalangan masyarakat yang berdepan dengan gejala penyakit kronik memilih untuk mendapatkan rawatan bomoh tradisional berbanding pakar perubatan.

Katanya, kebanyakan mereka mula terdesak untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan di hospital selepas penyakit yang dihidapi berada pada tahap berbahaya atau sukar dirawat.

Menurut beliau dalam keadaan itu, ia menjejaskan kualiti kehidupan diri dan keluarga apabila tidak lagi mampu bekerja dan terpaksa pula menanggung kos rawatan yang tinggi.

No comments:

Post a Comment