Saturday, May 21, 2011

Dewan Orang Ramai Lebih Besar Dibina Tahun Depan - MB

Harapan penduduk di Hulu Terengganu menikmati kemudahan dewan orang ramai yang lebih besar bakal menjadi kenyataan apabila perkara itu akan dimasukkan dalam bajet Kerajaan Negeri tahun depan.

Berita baik itu dinyatakan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menyifatkan prasarana yang disediakan untuk kemudahan rakyat di daerah ini berikutan dua kawasan dalam Parlimen Hulu Terengganu iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan Ajil antara kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Pembinaan dewan orang ramai yang lebih besar dan selesa bagi kemudahan rakyat di Parlimen Hulu Terengganu ini akan dimasukkan dalam bajet tahun depan.

“Pelan reka bentuknya sudah siap dan kita ingin melihatnya terlebih dahulu, namun yang pasti dewan baru itu kelak mampu membuatkan kira-kira 3,000 orang pada satu-satu masa,” katanya.

Ahmad Said berkata, kerajaan juga mengenal pasti lokasi bersesuaian iaitu berhampiran Hospital Hulu Terengganu dan kawasan berkenaan juga berdekatan Kompleks Jabatan Kerajaan yang kini rancak dibangunkan.

“Kemudahan ini selaras fokus Kerajaan Negeri yang memberikan tumpuan terhadap pembangunan di Tasik Kenyir.

“Apatah lagi, kerja ke arah menjadikan pulau buatan terbesar di Asia Tenggara sebagai tasik bebas cukai giat dilaksanakan kini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Mesra Veteran UMNO Bahagian Hulu Terengganu Bersama Pemimpin Tahun 2011 Jasamu Dikenang di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), kelmarin.

Program tersebut anjuran Majlis Veteran UMNO Negeri Terengganu bersama Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Veteran UMNO Bahagian Hulu Terengganu.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta Pengerusi Majlis Veteran UMNO Negeri Terengganu, Datuk Yahya Hashim.

Ahmad Said turut berharap rakyat di daerah ini bukan sekadar bersedia menghadapi perubahan tetapi turut merebut peluang yang terbentang di sebalik pembangunan demi pembangunan yang rancak dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment