Saturday, May 21, 2011

Dua Lelaki Termasuk Remaja Didakwa Bunuh Wanita

Dua lelaki termasuk seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kemaman, kelmarin atas tuduhan membunuh seorang wanita dalam satu kejadian di Bukit Kuang pada April lepas.

Che Khairul Muuiz Che Din, 19, dari Kelantan dan Mohd Suhaimi Mohd Arip, 26, berasal dari Johor dituduh membunuh Ka’ Yah Said, 52, antara 3.30 hingga 5.35 pagi di rumah mangsa di Lorong Mengkuang I, Taman Desa Darul Iman II, Bukit Kuang, Chukai pada 30 April lalu.

Kedua-dua mereka yang memakai baju lokap mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Zulkipli mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri dengan tangannya diikat manakala mulutnya ditampal pita pelekat di kediamannya, dalam satu kejadian samun.

Mangsa meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian setelah dibawa ke Hospital Kemaman.

No comments:

Post a Comment