Terengganu menghantar satu kontinjen mengandungi 55 atlet dan 20 pegawai untuk menyertai lima acara di Kejohanan Sukan Arafura 2001 di Darwin, Australia selama lapan hari mulai Sabtu ini.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Zainal Abidin Hussin berkata, lima acara yang akan disertai atlet Terengganu ialah hoki wanita melibatkan 20 orang, sepaktakraw (10 orang), menembak (enam orang), tinju (empat orang) dan olahraga (15 orang).
"Penyertaan kali ketiga ke kejohanan dua kali setahun itu antara lain bagi memberi pendedahan pertandingan bertaraf antarabangsa kepada atlet, sekaligus untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Pahang tahun depan.
"Kesemua atlet yang terpilih ke kejohanan Arafura itu adalah atlet elit yang dijangka mampu menyumbang pingat emas untuk Terengganu pada Sukma tahun depan," katanya pada majlis pelepasan kontinjen Terengganu ke Sukan Arafura di Kuala Terengganu, semalam.
Zainal Abidin yang mengetuai kontinjen Terengganu berkata, penyertaan atlet negeri itu ke kejohanan Arafura juga untuk menilai prestasi mereka dengan harapan mampu muncul juara untuk tahun ketiga berturut-turut.
Pada Sukma 2008, Terengganu yang menjadi tuan rumah melakar sejarah apabila buat julung kali muncul juara dan mengulangi kejayaan semasa Sukma di Melaka tahun lepas.
Zainal Abidin berkata, dua tahun lepas Terengganu juga telah menghantar atlet ke Arafura juga dalam lima acara dan mampu membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan dua gangsa.
"Kita berharap atlet yang kita hantar tahun ini lebih berjaya memandangkan mereka semua merupakan atlet pilihan untuk Sukma 2012," katanya.
Katanya, kejohanan di Darwin itu merupakan salah satu pertandingan yang telah dirancang dalam pelan periodisasi latihan sukan masing-masing dan menyemai semangat juang yang tinggi di kalangan atlet negeri itu.
No comments:
Post a Comment