Tuesday, May 31, 2011

Jabatan Pelajaran Terengganu Disaran Ambil Tindakan Lebih Agresif

Polis meminta Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) mengambil tindakan yang lebih agresif bagi membendung kejadian seperti gaduh pukul dan buli terus berlaku di kawasan sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sebanyak 10 kes jenayah salah laku melibatkan pelajar telah dicatatkan.

"Walaupun tidak banyak kes ini dilaporkan namun pihak polis tetap memandang serius masalah ini dan berharap pihak JPNT dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita sentiasa memantau perkara ini melalui pegawai perhubungan sekolah selain mengadakan program-program seperti Kelab Pencegahan Jenayah dan pasukan Kadet Polis bagi menggelakkan berlakunya kejadian jenayah melibatkan pelajar," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya sebelum ini pelbagai kaedah dan pendekatan telah diambil termasuk mengenakan hukuman terhadap pelajar yang melakukan kesalahan itu, namun ia masih gagal untuk menangani masalah tersebut.

Sehubungan itu, katanya ibu bapa juga perlu memain peranan dengan melakukan pengawasan yang lebih ketat terhadap anak-anak mereka selain memberi penekanan dalam pendidikan agama.

Mengenai kejadian pukul yang melibat seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Bukit Tunggal Rabu lepas sehingga terpaksa menerima tujuh jahitan, Manoharan berkata polis masih menunggu laporan perubatan dan prestasi daripada pihak sekolah sebelum merujuk kes itu kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment