Saturday, May 21, 2011

Jalan Sehaluan - MBKT Minta Tempoh Sebulan

Langkah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengubah laluan dua hala di jalan Sultan Zainal Abidin kepada sehala sejak seminggu lalu dibuat untuk memberi kebaikan kepada semua pihak.

Menurut Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang, MBKT tidak sewenang-wenangnya membuat perubahan itu tanpa kajian terperinci daripada pelbagai sudut.

“Perubahan laluan di jalan itu adalah untuk tempoh percubaan selama sebulan dan kajian semula akan dilakukan selepas itu dengan mengambil kira kejayaan pelaksanaan termasuk aduan daripada penduduk.

“Mereka perlu ingat tindakan MBKT bukan untuk menyusahkan orang ramai. Adakalanya, pihak berkuasa perlu menuntut sedikit pengorbanan daripada kumpulan kecil untuk kebaikan masyarakat umum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Baru-baru ini, kira-kira 100 penduduk termasuk pemilik premis perniagaan di Kampung Tanjung Batu 1, dekat sini membuat bantahan terhadap perubahan itu yang turut menyebabkan kesesakan sekitar Pasar Payang.

Mengenai memorandum yang diserahkan kumpulan terbabit, Adzlan memberitahu, MBKT perkara tersebut akan dikaji secara terperinci dan cadangan seperti itu amat dialu-alukan untuk kebaikan bersama.

Jelas beliau, apa jua langkah yang dilakukan MBKT tujuannya adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan berkenaan terutama selepas waktu pejabat dan pada cuti hujung minggu.

“Begitu juga sekiranya terdapat program mingguan dan penganjuran acara-acara besar di Dataran Syahbandar , jalan itu menjadi sesak berikutan tiada sistem lalu lintas yang sistematik. Itu pun orang salahkan kita.

“Berdasarkan pengalaman MBKT yang sudah beberapa kali melakukan perubahan terhadap aliran lalu lintas di bandar raya ini, sudah menjadi kebiasaan kita menerima rungutan dan ia bersifat sementara kerana kita faham pengguna perlukan masa untuk memahami hasrat kita,” ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment