Saturday, May 14, 2011

Kerajaan Negeri Ambil Alih Tanah Untuk Kekalkan Pemilikan Melayu

Pengambilalihan tanah di kawasan Ladang oleh kerajaan negeri Terengganu dibuat bagi memastikan pemilikan orang Melayu di kawasan bandar kekal, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata selain itu ia juga bertujuan menyusun semula pembangunan di kawasan bandar raya Kuala Terengganu kerana perkampungan itu sebelum ini kurang tersusun.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul soal kerajaan menganiaya rakyat dengan mengambil tanah di kawasan itu dan membuat pembangunan sehingga mengabaikan kebajikan penduduk seperti yang digembar-gemburkan pembangkang.

“Kita sedar tanah-tanah di kawasan Ladang yang dulunya milik orang Melayu kini sudah banyak dibeli oleh orang lain. Sebab itu kerajaan negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan beli semula tanah ini dan susun semula penempatan dan pembangunan di bandar raya ini.

“Lembaga Tabung Amanah Warisan beli untuk dirikan bangunan untuk disewa dan pastikan 50 peratus sewa dan 30 peratus dibeli oleh orang Melayu bagi memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pemilikan kekal hak Melayu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin (11 Mei 2011).

Terdahulu, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) meminta Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini ditangguh bagi membincangkan soal pengambilalihan tanah rakyat di Ladang yang didakwa menzalimi penduduk di kawasan itu. Usul itu bagaimananapun ditolak.

Ahmad berkata kerajaan negeri tidak pernah menzalimi rakyat, malah sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka dan ia terbukti apabila kerajaan turut menyediakan rumah kepada rakyat yang terlibat dalam pengambilan tanah itu.

Pangsapuri perumahan rakyat di Ladang Gemilang yang dijual secara sewa beli kepada penduduk yang layak, dijual dengan harga RM150,000 iaitu 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Orang kampung sebenarnya lagi gembira kerajaan ambil alih tanah mereka, kerana bukan sahaja rumah, tetapi telaga dan reban ayam juga turut dihitung dalam soal pemberian pampasan kepada mereka, malah rumah juga diberi murah,” katanya.

Beliau berkata mereka yang selama ini tinggal secara haram di tanah kerajaan di kawasan Ladang juga diberi pampasan RM5,000 hingga RM6,000 walaupun sebenarnya mereka boleh dikenakan denda sebayak RM10,000 atau enam bulan penjara kerana menduduki tanah kerajaan secara haram.

Sementara itu pada sesi soal jawab, Ahmad berkata kerajaan PAS sendiri semasa memmerintah Terengganu pada 1999 pernah menyerahkan tanah yang sepatutnya dijadikan taman rekreasi untuk penduduk di kawasan Kuala Terengganu kepada sebuah sebuah syarikat kroni parti itu untuk dimajukan menjadi kawasan perumahan.

Beliau berkata tanah seluas lebih 21 hektar di kawasan Tok Adis dibangunkan dengan projek pembangunan perumahan awam menyebabkan golongan belia tidak mempunyai kawasan untuk beriadah.

No comments:

Post a Comment