Thursday, May 26, 2011

Langkah Proaktif Diambil Tangani Isu Nelayan Vietnam

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani semalam mengambil beberapa langkah proaktif dalam menangani isu dan kegiatan bot tempatan menggunakan pekerja asing dari Vietnam yang menangkap ikan di perairan beberapa buah negeri menyebabkan pendapatan nelayan tempatan terjejas.

Timbalan Menterinya Datuk Johari Baharum berkata perkara itu dicapai pihaknya ketika mengadakan perjumpaan dan perbincangan tentang isu itu bersama persatuan-persatuan nelayan dari pantai timur dan agensi penguatkuasaan berkaitan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuantan, semalam.

Beliau berkata keputusan utama yang diambil adalah menghentikan serta-merta pemberian minyak bersubsidi kepada 179 buah bot nelayan milik rakyat tempatan yang menggunakan kru dari Vietnam yang menangkap ikan di perairan pantai timur, Johor dan Sarawak.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 58 buah bot nelayan berkenaan beroperasi di Pahang, di Kelantan (57), Terengganu (40), Sarawak (20) dan di Johor (empat).

"Dalam mesyuarat itu, kita mendengar laporan dari pihak polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Persatuan Nelayan dan Jabatan Perikanan tentang masalah-masalah yang ditimbulkan bot nelayan Vietnam, jadi kita mengambil keputusan mulai hari ini kita hentikan beri minyak subsidi kepada 179 bot berkenaan di mana permit untuk perkara itu kita hentikan," katanya.

Selain itu, katanya, Jabatan Perikanan akan melakukan pemeriksaan sepenuhnya ke atas semua bot nelayan berkenaan sekiranya pihak itu ingin mendapatkan semula pemberian subsidi minyak berkenaan di mana pemeriksaan itu merangkumi peralatan menangkap ikan yang digunakan dan keadaan bot itu sama ada diubahsuai atau tidak.

"Kementerian juga tidak akan membenarkan bot yang dirampas pihak kita dilesenkan semula dan kita akan mengkaji semula penggunaan kru-kru bot dari Vietnam kerana mendatangkan banyak masalah terutamanya masalah sosial yang ditimbulkan mereka sendiri," katanya.

Johari berkata kerjasama di antara Jabatan Perikanan, LKIM, APMM dan polis pula akan dilaksanakan dalam menguatkuasakan semua peraturan sedia ada bagi menangani segala permasalahan yang membabitkan nelayan tempatan.

Kementerian juga, katanya, hanya akan membenarkan kapasiti minyak digunakan sesebuah bot berdasarkan saiz bot dan peralatan pukat yang digunakan dan perkara itu akan dimasukkan dalam syarat lesen.

"Penggunaan minyak mengikut saiz bot itu, kalau sebuah bot guna 1,000 liter minyak maka bot itu hanya boleh isi minyak 1,000 liter untuk satu perjalanan dan ia tidak dibenarkan membawa minyak tambahan bagi mencegah penyeludupan dan salah guna diesel oleh nelayan," katanya.

Katanya keputusan terakhir yang dicapai dalam perjumpaan itu adalah semua lesen Pukat Tunda Musim Tengkujuh akan dilanjutkan dari November hingga Mac bagi nelayan-nelayan di Pantai Timur dan di Johor.

No comments:

Post a Comment