Saturday, May 21, 2011

Operasi Besar-besaran Banteras Pencerobohan Zon Menangkap Ikan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melancarkan operasi besar-besaran sekiranya nelayan laut dalam terus melakukan pencerobohan terhadap zon menangkap ikan nelayan pantai.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Johari Baharom berkata sejak kebelakangan ini pihaknya telah menerima banyak aduan termasuk di Kedah di mana nelayan pantai terutamanya nelayan di daerah Yan mengenai pencerobohan oleh nelayan laut dalam yang menggunakan pukat jerut bagi menangkap ikan.

Kata Mohd Johari, pihaknya akan melakukan pertemuan dengan pengusaha pukat jerut dan juga nelayan pantai bagi mebincangkan perkara itu agar tidak berulang lagi dan memastikan hak nelayan pantai terbela.

"Jika mereka terus mengingkari syarat-syarat yang telah ditetapkan, pihak kementerian yang akan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan juga Polis Diraja Malaysia akan melakukan operasi besar-besaran bagi membateras kegiatan itu.

"Dalam operasi itu kita akan jalankan di seluruh kawasan nelayan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dan turut menahan nelayan yang menyalahgunakan bot untuk tujuan menyeludup dadah dan yang menggunakan nelayan asing tanpa permit sah," kata beliau.

Pihak kementerian juga mengkaji akan memasang alat mengesan terhadap bot nelayan laut dalam untuk pemantauan pihak berkuasa agar mereka tidak menceroboh kawasan nelayan pantai.

"Mereka langsung tidak menghormati hak nelayan pantai dan juga keputusan kementerian yang memberi kebenaran kepada mereka untuk menangkap ikan laut dalam.

"Nelayan dari Kuala Kedah biasa menggunakan pukat jerut untuk menangkap ikan di kawasan nelayan pantai di Yan sehingga menyebabkan nelayan kecil ini kadang kala tidak memperolehi hasil tangkapan yang banyak.

"Jika kita lihat, nelayan pantai lebih ramai daripada nelayan laut dalam iaitu sekitar 40,000 orang berbanding hanya 8,000 nelayan laut dalam di negara ini.

"Pendapatan mereka tidak seberapa dan mereka hanya boleh menangkap ikan dalam jarak 5batu nautika sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan komputer 1Malaysia kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pauh di Jitra, kelmarin.

Mohd Johari juga berkata pihak kementerian akan merampas bot-bot nelayan serta membatalkan lesen mereka sekiranya nelayan menggunakan peralatan yang disediakan kerajaan untuk tujuan jenayah seperti menyalahgunakan diesel bersubsidi dan juga menyeludup dadah.

No comments:

Post a Comment