Beberapa produk makanan dalam tin yang dijual di sebuah pasar raya di sini kemik dan sudah rosak meskipun belum tamat tarikh luput.
Perkara itu dikesan ketika Operasi Pemeriksaan Tanda Harga yang dilakukan pegawai penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Kemaman bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman serta ahli jawatankuasa Gerakan Pengguna Daerah Kemaman di sebuah pasar raya terkemuka, di Kemaman, kelmarin.
Ketua Cawangan PPDNKK Kemaman, Mat Junoh Kadir yang mengetuai operasi berkata, dalam operasi memeriksa tanda harga berkenaan, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman memberi tumpuan pemeriksaan produk makanan di bawah Akta Makanan 1983.
“Hasil pemeriksaan mendapati pasar raya ini melakukan kesalahan kerana menjual beberapa barangan makanan dalam tin yang kemik dan ada juga barangan makanan lain yang disyaki rosak walaupun belum sampai tarikh luput.
“Produk makanan berkenaan akan dihantar ke makmal untuk ujian,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai operasi berkenaan, menurutnya, pemeriksaan tanda harga dilakukan untuk memastikan pengurusan pasar raya mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 khususnya penggunaan sistem kod bar.
“Kita menerima rungutan daripada pengguna yang mendakwa terdapat perbezaan antara harga yang dipamerkan dengan harga yang diimbas.
“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dijalankan di pasar raya ini kita dapati tiada kesalahan dikesan, tetapi kita nasihatkan pihak pengurusan supaya lebih prihatin terhadap isu dibangkitkan dan perlu mengingatkan: penyelia agar sentiasa menyemak perubahan harga yang dipamerkan dengan yang diimbas ketika bayaran dibuat,” katanya.
Katanya, pemeriksaan tanda harga seperti itu dilakukan secara berkala oleh pegawai penguat kuasa, bagi tahun ini terdapat sebuah pasar raya di daerah ini yang dikenakan tindakan kerana kesalahan harga yang diimbas lebih tinggi daripada harga yang dipamerkan di rak pameran.
“Jika sabit kesalahan, tindakan kompaun minimum RM1,000 boleh dikenakan kepada peniaga atau boleh didenda sehingga RM15,000,” katanya.
Namun, katanya, pihak pengurusan pasar raya itu juga boleh dipuji kerana hasil pemeriksaan mendapati pasar raya tersebut menyahut kempen kerajaan supaya menurunkan harga kerana terdapat barang tertentu yang diturunkan harga mengikut tempoh yang ditetapkan pengurusan.
“Penurunan harga seperti ini digalakkan kerana ia dapat mengurangkan kos sara hidup pengguna dan kita harap semua peniaga berbuat demikian supaya dapat menambah jualan secara langsung menguntungkan peniaga,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment