Tuesday, May 31, 2011

Penjawat awam perlu peka tuntutan semasa kerajaan – SUK

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, meminta penjawat awam supaya peka dengan tuntutan semasa kerajaan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, mereka perlu faham bahawa segala perancangan yang dilakukan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, adalah selaras dengan kehendak pucuk pimpinan negeri.

“Komitmen semua penjawat awam amatlah diperlukan oleh kerajaan di dalam melaksanakan dasar yang dibuat kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jejak Pegawai Muda Negeri Terengganu di Sutera Beach Resort, Merang, malam kelmarin

Program empat hari anjuran Terengganu Intergrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) itu dihadiri 97 peserta terdiri daripada pegawai tadbir negeri dan pegawai dari beberapa jabatan Persekutuan dan agensi kerajaan dari seluruh negeri.

Dato’ Haji Mazlan berkata, pelaksanaan dasar yang berkesan hendaklah diperkukuhkan dengan penilaian dan pemantauan berterusan, berlandaskan kepada matlamat untuk memenuhi kehendak rakyat dan ‘stakeholders’.


“Berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar, kita hendaklah menerapkan budaya kerja yang “excessive” iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat atau mesra pelanggan.”

Sehubungan itu, katanya, semua penjawat awam perlu memahami secara mendalam apa yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat pembuat dasar.

“Kita sebagai badan pelaksana dasar yang akan melaksanakan pelbagai program, tidak dapat lari daripada tanggungjawab dan akur kepada kehendak stakeholders, terutamanya rakyat.

“Berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar, kita hendaklah menerapkan budaya kerja yang “excessive” iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat atau mesra pelanggan,” ujar beliau.

Beliau turut meminta para penjawat awam supaya sentiasa memberikan khidmat yang menyenangkan dan memberi kepuasan kepada rakyat.

“Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam. Jika benar kita ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu fahami setiap masalah, kekangan, kerumitan dan kesulitan yang dihadapi rakyat dengan mengamalkan konsep turun padang.

“Konsep turun padang dapat membantu kita untuk melihat dengan lebih dekat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat sepertimana saranan pucuk pimpinan negeri,” ujarnya.

Kata beliau, penjawat awam perlu memahami denyut nadi rakyat dan berupaya menyelami keluh kesah kehidupan seharian mereka sebagaimana yang ditekankan oleh Menteri Besar Terengganu dalam agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment