Peranan sektor awam sangat penting dalam industri pelancongan dalam usaha kerajaan Terengganu untuk menjadikan sektor itu sebagai sumber pendapatan negeri ini pada masa akan datang.
Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Bahagian Sektoran Tun Ahmad Faizal Tun Abdul Razak berkata, ini kerana kakitangan awam seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan lain-lain merupakan orang pertama menemui pelancong apabila mereka berkunjung ke negara ini.
“Kalau pelancong luar negara datang, ia mesti menemui terlebih dahulu pegawai Imigresen, Kastam, polis dan lain-lain sebelum pemandu teksi, pekerja hotel, peniaga dan sebagainya.
“Dengan sebab itu kakitangan awam juga perlu mainkan peranan dalam sektor ini dengan memberi layanan yang baik kepada pelancong, agar mereka kembali melancong ke negara ini selain mewar-warkan kepada rakan-rakan tentang layanan baik yang kita berikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup kursus Act Tourism anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, yang turut dihadiri Pengarahnya Ahmad Fathil Abdul Ghani, kelmarin (19 Mei 2011).
Pada kursus sehari bagi membantu mereka yang bekerja di barisan hadapan itu memperoleh kemahiran dan pengetahuan bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan, sebanyak 28 jabatan dan agensi kerajaan mengambil bahagian melibatkan 96 peserta.
Tun Faisal berkata, ketika ini Terengganu memperoleh pendapatan hampir RM2 bilion setahun daripada hasil petroleum dan gas dan pendapatan itu cuba diraih melalui sektor pelancongan pada masa akan datang.
Bagaimanapun katanya, walaupun Terengganu dilimpahi pelancong dan mendapat hasil yang banyak daripada bidang itu pada masa akan datang, tetapi hanya sedikit sahaja diperoleh kerajaan kerana ia terus diperoleh oleh rakyat seperti pengusaha perhotelan, peniaga, pemandu teksi dan sebagainya.
“Kerajaan dapat juga sedikit melalui kutipan cukai dan sebagainya tetapi yang lebih penting ia dapat menjana dan meningkatkan sumber pendapatan rakyat itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, dengan sebab itu peranan yang dimainkan oleh mereka yang berada di barisan hadapan dalam bidang itu amat penting agar pelancong yang datang merasa mereka dihargai dan dilayan dengan baik.
No comments:
Post a Comment