Thursday, May 5, 2011

PISB Untung, Pekerja Melancong ke Terengganu, Pahang

Pens Industries Sdn. Bhd., (PISB), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) mengumumkan pembayaran bonus lima bulan kepada pekerjanya bagi tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu (gambar kiri) berkata, pemberian bonus tersebut sebagai penghargaan kepada 64 pekerjanya yang menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu memajukan syarikat.

“Selain bonus, PISB menyediakan mereka (pekerja) pakej pelancongan bersama keluarga selama tiga hari di dua destinasi iaitu Pahang dan Terengganu,” katanya pada majlis penyerahan dividen PISB di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Besar PISB, Rosli Mat Hussin.

Md. Isa berkata, sejak tiga tahun lalu, prestasi jualan premix dan kuari batu PISB dianggarkan lebih RM19 juta manakala sasaran pada tahun ini melebihi RM20 juta berikutan peningkatan dalam beberapa sektor khususnya infrastruktur.

“PISB mendapat langganan daripada kontraktor dan syarikat pem binaan di sekitar Perlis dan utara Kedah dan tawaran membaik pulih jalan raya di seluruh negeri ini. Syarikat juga terlibat dalam sektor hartanah termasuk pembelian rumah kedai untuk disewakan sebagai sumber pendapatan,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain kata Menteri Besar, kerajaan negeri menarik balik cadangan penutupan kuari batu di Sungai Batu Pahat dekat sini berikutan prestasi keuntungan yang memberangsangkan dan akan memantau perkembangan kuari berkenaan supaya ia tidak menjejaskan alam sekitar.

“Sebelum ini terdapat cadangan menutup beberapa syarikat yang beroperasi di kawasan berkenaan kerana kedudukannya berhampiran pusat rekreasi terkenal dan berada dalam Taman Negeri Perlis,” katanya.

Sehubungan itu jelasnya, syarikat terlibat diarah mengikut piawaian atau garis panduan ditetapkan bagi mengelak timbul masalah kepada alam sekitar.

No comments:

Post a Comment