Saturday, May 21, 2011

PTG Terengganu Diarah Berhati-Hati Luluskan Permohonan Tanah

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu berhati-hati dalam meluluskan permohonan tanah secara berkelompok daripada pemohon yang menerokainya secara haram bagi mengelakkan Terengganu kekurangan kawasan di masa depan.

Beliau berkata siasatan mendapati terdapat mereka yang mempunyai tanah membuat permohonan kali kedua, yang secara langsung menutup peluang mereka yang tidak mempunyai tanah mendapatkan tanah anugerah.

Katanya adalah menjadi hasrat kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Terengganu yang tidak mempunyai tanah menerima anugerah tanah sama ada satu lot tanah rumah ataupun tanah pertanian.

"Buat masa ini kerajaan negeri sedang memperoses 500 permohonnan membabitkan pemilik tanah haram sebelum boleh diluluskan di Hulu Terengganu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu di Setiu, kelmarin.

Ahmad Said berkata setakat ini banyak permohonan bagi mendapatkan kelulusan tanah secara berkelompok dikemukakan dari daerah Setiu dan Hulu Terengganu manakala daerah-daerah lain didapati seimbang.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan mesyuarat, Ahmad, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perpaduan kalangan pemimpin Umno negeri itu kini dalam keadaan baik dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa.

Keadaan ini, katanya jauh berbeza dengan sebelum ini kerana setiap pemimpin menyedari perpaduan amat penting dalam menentukan Barisan Nasional dapat terus kekal memerintah Terengganu.

No comments:

Post a Comment