Sunday, May 29, 2011

Suara Kanak-kanak Mesti Didengar Dalam Proses Perceraian

Hak kanak-kanak perlu didengar dalam proses perceraian bagi memastikan hak kanak-kanak boleh direalisasikan dengan berkesan.

Presiden Pertubuhan Kanak-kanak Bersatu Malaysia (UNCOM) Datuk Dr Joshua Peter Tan berkata suara kanak-kanak ini perlu didengar dalam menyampaikan mesej bahawa kanak-kanak yang paling terbabit dengan perintah mahkamah.

"Apabila keluarga bercerai, kita bukan hanya mengendalikan suami dan isteri, kita juga hendaklah mempertimbangkan kesan yang paling mengganggu dan trauma yang membabitkan kanak-kanak.

"Kita perlu pastikan bahawa perceraian tidak menjejaskan kanak-kanak. Pertama kita mesti dengar pandangan kanak-kanak ini, beri keutamaan terhadap pandangan dan mempertimbangkan pilihan mereka," katanya dalam ucapan pada Forum Kanak-kanak 2011 di Kuala Lumpur, kelmarin.

Forum sehari itu diadakan sempena Hari Keluarga Antarabangsa anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan UNCOM.

Tan berkata ibu bapa yang telah bercerai mestilah memahami bahawa seseorang suami boleh menukar isterinya dan seseorang isteri boleh menukar suaminya, tetapi seseorang kanak-kanak tidak ada pengganti untuk ibu dan ayah.

Beliau berkata dalam mana-mana pertikaian penjagaan, kanak-kanak sering ke sana ke sini untuk mendapatkan penyelesaian, dinafikan haknya untuk menunjukkan emosi dalaman dan perasaaan, yang akhirnya merana dalam diam-diam disebabkan perpecahan dalam keluarga.

"Kanak-kanak diasingkan bukan hanya daripada ibu bapanya tetapi juga kalangan kawan-kawan mereka. Amalan tidak sihat ini boleh dielakkan jika pihak yang bercerai memahami konsep bahawa ibu dan ayah tidak boleh diganti.

"Ia mestilah dihargai bahawa tidak ada kanak-kanak yang terlalu muda untuk memahami dan kanak-kanak mestilah jangan dinafikan haknya untuk didengar," kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin berkata peraturan penjagaan dilihat sebagai pilihan yang baik untuk kanak-kanak dalam perceraian.

"Ini kerana kanak-kanak perlukan kedua-dua ibu bapanya untuk asuhan dan didikan yang baik.

"Dalam perbezaan perbandingan dalam pendekatan penjagaan tunggal secara konvensional, di mana mahkamah pada lazimnya memberikan penjagaan kepada ibu dengan semua tanggungjawab untuk kanak-kanak dan hak lawatan kepada ayah, perkongsian keibubapaan menekankan kesaksamaan dan hampir kesaksamaan peranan untuk ayah," kata beliau.

Dalam melindungi hak-hak semua pihak, pelan keibubapaan hendaklah dibentuk yang mencerminkan cabaran zaman moden dan keadaan yang dihadapi ibu bapa dan kanak-kanak bawah umur sebelum, semasa an selepas perceraian, kata beliau.

No comments:

Post a Comment