Sebagai sebuah negeri yang menyasarkan untuk mencapai status negeri maju menjelang 2020, Terengganu kini merangka langkah ke arah melonjakkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.
Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel Sultan Mahmud berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun ini diunjurkan sebanyak RM16.2 bilion dan KDNK per kapita RM15,091.
"Pendapatan purata isi rumah pula diunjurkan pada RM3,270. Namun begitu, kadar pertumbuhan penduduk 2000-2010 bagi negeri ini telah turun kepada 1.43 peratus berbanding 1.54 peratus bagi tempoh 1991-2000.
"Penurunan kadar pertumbuhan penduduk adalah sejajar dengan kadar pertumbuhan penduduk di negara maju lain disebabkan beberapa faktor termasuk tumpuan kepada kerjaya," katanya ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang ke-12 di Kuala Terengganu, semalam.
Tengku Mustaffa Kamel berkata, perancangan agenda pembangunan lima tahun negeri adalah berdasarkan Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu (HPNT) di mana dalam tempoh tersebut, kerajaan negeri telah memfokuskan kepada empat teras utama selepas kebergantungan kepada industri minyak dan gas dikurangkan.
Katanya, teras utama iaitu pendidikan dan pembangunan sumber manusia, merupakan fokus gagasan kerajaan negeri menjadikan negeri itu sebagai negeri anjung ilmu menjadi realiti.
Beliau berkata daripada segi pembangunan sumber manusia pula, pelbagai program yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan dan perkemahiran tinggi serta berdaya saing sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta.
Katanya, teras kedua pula sektor pelancongan, bertindak sebagai nafas baru dalam menjana ekonomi negeri.
"Kita harus bersyukur dengan keindahan, keunikan dan kecantikan alam semulajadi yang ada di negeri ini," katanya.
Katanya sektor pertanian turut menyumbang ke arah peningkatan pendapatan rakyat dengan kaedah perlaksanaannya ditukar daripada sara diri kepada komersil untuk eksport dan import.
Beliau berkata bidang perdagangan serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) adalah teras yang terakhir dalam menggerakkan HPNT di mana pembukaan kawasan perindustrian baru dan menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara akan terus dirancakkan melalui promosi dan juga insentif yang bersesuaian dengannya.
Bidang ICT tidak ketinggalan dalam memberi sumbangan bagi menggalakkan perkembangan sains dan teknologi seiring dengan arus perdana tanpa mengira peringkat umur dan tempat, katanya.
Tengku Sri Bendahara Raja berkata, sebagai sebuah negeri dalam rangkaian Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Terengganu mengorak langkah untuk menjadi sebuah negeri yang berdaya saing di rantau ini.
"Kita dimaklumkan perancangan dan program pembangunan di bawah ECER diberi tumpuan kepada Gerbang Pelancongan, Hab Industri Minyak, Gas dan Petrokimia, Pusat Kecemerlangan Akademik serta Industri Asas Tani," katanya.
Katanya sebanyak 29 projek dan program merentasi sempadan ECER yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah dilaksanakan dan bagi tempoh berakhir 15 Feb tahun ini, sebanyak lapan projek sedang dalam pelaksanaan fizikal.
Projek itu ialah Taman Industri Polimer Kertih, Pembangunan Ladang Pengganda dan Ladang Komersial Kambing, Pusat Pembiakan dan Inovasi Kambing Kuala Berang, Agropolitan Besut, Pembinaan Jambatan Bukit Kuang (Kemaman) dan Pusat Pembangunan Modal Insan.
Katanya selain sembilan projek yang diluluskan di bawah RMK-10, sebanyak lapan projek akan dimulakan sebelum pertengahan tahun ini iaitu Taman Herba dan Bioteknologi di Pasir Raja, Dungun, Taman Industri Pembinaan dan Pembaikan Bot di Kemaman (fasa II), Taman Industri Berat di Kemaman (fasa II) dan Pembangunan Pelabuhan Kemaman (fasa II).
Lain-lain ialah Agropolitan Besut/Setiu (fasa II), Pembangunan Kuala Terengganu City Centre (fasa II), Zon Ekonomi Khas ECER - lingkaran tengah dan program latihan modal insan.
Katanya cabaran negeri maju 2020 bukan sesuatu yang mudah dan dapat dilakasanakan dalam jangka waktu yang singkat kerana ia mesti dilaksanakan setiap waktu secara konsisten dan bersungguh-sungguh.
Dewan Undangan Negeri Terengganu dianggotai 24 wakil Barisan Nasional (BN) dan lapan daripada PAS.
No comments:
Post a Comment