Thursday, May 5, 2011

TSG Diurus Secara Profesional Untuk ke Le Tour de France

Ahmad Said bermesra dengan pelumba TSG pada majlis perasmian pejabat TSG semalam. - Gambar Harith Fadzilah.

Oleh Shahrir Hamid

Sukan berbasikal negara tidak ketandusan atlet apabila ramai pelapis menunjukkan minat dalam sukan berkenaan.

Terengganu, melalui Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) diyakini mampu mampu melahirkan jaguh baru daripada pasukan pelapis.
Sementara pasukan elit (TSG) pula akan terus diketengahkan dalam penyertaan pelbagai kejohanan besar dalam dan luar negara.

Berikutan itu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mahu melihat TSG mampu bersaing dengan pasukan profesional dan hebat di luar negara bagi memantapkan lagi penampilan dan membuktikan kekuatan sebenar pasukan berkenaan.

Dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, Terengganu mahu pastikan ada pelumba TSG boleh melibatkan diri dalam dua kejohanan berbasikal terkemuka dunia seperti Le Tour de France dan Italia(Giro d’ Italia).

Pada masa yang sama, kerajaan negeri sedang mengkaji kemungkinan mencari jurulatih lain yang lebih profesional serta pakar dalam setiap aspek sukan itu.

Menteri Besar gembira kerana dalam tempoh tidak sampai setahun penubuhan TSB, pasukan itu mendapat tempat kelima terbaik pada Le Tour De Langkawi lepas menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Bagi menghargai jasa atlet berbasikal negeri, kerajaan telah mengambil pelbagai insentif sebagai pendorong agar lebih maju dalam sukan berbasikal.

Kini, TSG mempunyai sembilan pelumba anak jati Terengganu dan empat pelumba import dalam pasukan.

Selain itu, bagi menguruskan pasukan secara professional, TSG kini memiliki pejabat urusan sendiri secara rasminya di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu.

Ahmad Said sendiri merasmikan pejabat tersebut selepas mesyuarat kerajaan negeri di Wisma Darul Iman.

Pejabat urusan berkenaan mengurus tadbir pasukan TSG dan diketuai enam Ahli Lembaga Pengarah serta dibantu 11 kakitangan untuk melicinkan pentadbiran.
Dalam pada itu, Menteri Besar mahu atlet kelahiran Terengganu komited terhadap sukan yang diceburi.
Katanya, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha keras dan atlet harus mempersiapkan diri secukupnya supaya kejajayaan mampu dimiliki.

“ Kerajaan akan memberi penghargaan kepada atlet yang mengharumkan nama negeri serta Negara di kejohanan dalam mahupun luar Negara. Harapannya hanya satu supaya kejayaan akan terus digenggam dan Terengganu menjadi negeri pengeluar atlet sukan terkemuka Malaysia terutama acara berbasikal”, katanya lagi.

Katanya lagi, ramai anak muda di setiap daerah Terengganu menunjukkan minat tinggi terhadap sukan berbasikal. Penubuhan TSG diharap menjadi platform utama golongan muda mengasah bakat menjadi pelumba basikal digeruni dunia seperti Azizul Hasni Awang.

“Orang luar sendiri menggelar Azizul ‘Rocket Pocket Man’ kerana kepantasan kayuhan walaupun mempunyai bentuk fizikal yang kecik dan ini membuktikan kita mampu bersaing di pentas antarabangsa”, ujar Dato’ Seri Ahmad ketika sidang media selepas upacara perasmian itu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda serta pegawai kerajaan lain.

Turut memeriahkan majlis ialah atlet berbasikal TSG seperti Anuar Manan dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment