Kelantan dan Terengganu yang bertemu buat pertama kali di pentas final saingan Piala FA 11 Jun ini dijangka menarik minat ramai penyokong untuk memenuhi stadium bola sepak terbaik negara yang mampu memuatkan 100,000 penonton.
Sebanyak 85,000 tiket akan dijual bermula 6 Jun di Kelantan dan Terengganu, dengan setiap negeri diperuntukkan 30,000 tiket, manakala baki 25,000 dijual di Stadium Nasional pada 10 Jun, bermula jam 9 pagi.
Akibat pertembungan dua gergasi Pantai Timur pada final Piala FA itu menuntut pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan aspek keselamatan.
FAM juga akan memastikan tiada penonton masuk menggunakan tiket palsu dengan pemantauan ketat diadakan di setiap pintu masuk. Tiket dijual pada harga RM50, RM30 dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah memaklumkan kepada peminatnya bahawa ia hanya diperuntukkan 30,000 tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukti Jalil, itu.
Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, tiket bagi tempat biasa berharga RM30 manakala tempat duduk berbumbung berharga RM50.
Katanya, sebanyak 10,000 keping tiket sudah ditempah persatuan bola sepak daerah negeri itu dan baki 20,000 akan dijual kepada orang ramai.
Jumlah tiket yang sama diperuntukkan kepada Kelantan manakala 25,000 keping lagi akan dijual di Bukit Jalil bagi membolehkan peminat kedua-dua pasukan di Lembah Klang tidak ketinggalan menyaksikan perlawanan akhir itu.
“Saya mengharapkan rakyat Terengganu yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur serta tempat lain datang beramai-ramai untuk memberi sokongan moral kepada skuad negeri ini untuk menghadapi Kelantan,” katanya.
Che Mat berkata, Terengganu yang menjulang Piala FA pada 2000 dan mara ke perlawanan akhir 2004 tetapi tewas kepada Perak, berazam untuk membawa pulang piala berprestij itu ke Kuala Terengganu musim ini dan yakin skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim mampu mempamer persembahan mantap pada aksi kemuncak itu.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Salleh Mohd Rashid, berkata kelmarin, pihaknya faham emosi penyokong kedua-dua pasukan cukup tinggi menjelang final kali ini, tetapi jangan sampai insiden tidak diingini berulang.
“Pihak stadium, FAM dan Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium sepanjang hari pertandingan. Kami juga menambah anggota bertugas kepada 2,430 orang sambil dibantu 400 anggota RELA.
“Kami berharap budaya liar seperti membaling mercun dan sinar laser tidak berlaku pada perlawanan kali ini. Penyokong diminta mempamerkan semangat kesukanan dan disiplin tinggi demi nama baik bola sepak negara.”
No comments:
Post a Comment