Thursday, June 2, 2011

45 Pensyarah Dan Guru Malaysia Sertai Seminar Di Bandung

Seramai 45 pensyarah universiti dan guru sekolah akan menyertai Seminar Antarabangsa Praktis Pedagogi Berkualiti anjuran Universiti Pendidikan Indonesia (UPI) Bandung dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) di Bandung pada Sabtu dan Ahad ini.

Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM), Prof Madya Dr Hashim Othman memberitahu Bernama pensyarah dan guru yang terdiri daripada anggota PPBMM itu adalah dari Pulau Pinang, Terengganu, Selangor, Perak, Kedah dan Pahang.

Katanya seminar yang bertemakan 'Peningkatan Kualitas Pendidikan Bangsa melalui Pembelajaran Aktif, Inovatif, Kreatif, Efektif dan Menyeronokkan' itu sesuai untuk membuka peluang kepada pensyarah dan guru bagi menambah ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan.

Hashim, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, berkata sempena seminar itu, satu Diges Pendidik hasil usaha sama USM dan UPI akan turut dilancarkan.

Beberapa kertas kerja seminar itu akan dibentangkan oleh pensyarah dan guru yang berpengalaman dari kedua-dua negara selain juga dari Thailand.

Peserta dari Malaysia juga akan dibawa melawat beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Bandung dan Jakarta pada Isnin dan Selasa.

No comments:

Post a Comment