Wednesday, June 22, 2011

51 Laporan Bantah Penganjuran Perhimpunan 9 Julai

Polis Terengganu menerima 51 laporan daripada badan bukan Kerajaan (NGO) dan individu membantah hasrat sekumpulan pengacau untuk menganjurkan perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan mengesahkan, laporan itu diterima sejak beberapa hari lalu.

Perhimpunan yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dikatakan didalangi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sementara pertubuhan PERKASA dan Pemuda UMNO akan turut turun ke jalan raya bagi menggempur BERSIH.

Tersirat ialah BERSIH dikatakan akan menjadikan ‘tunjuk perasaan’ itu seperti yang berlaku di Mesir, Libya dan beberapa negara Islam lain.

Banyak pihak bimbang jika terjadi pertembungan antara dua kumpulan penunjuk perasaan itu, sesuatu yang buruk akan berlaku.

Sementara itu, sebanyak 32 pertubuhan kebajikan di Perlis membantah turut membantah perhimpunan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Kebajikan Masyarakat Perlis, Mansor Jusoh berkata, perhimpunan itu boleh menggugat keharmonian negara.

Berikutan itu beliau meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram itu.

Ketua Polis Perlis Datuk Tajudin Md Isa berkata, sehingga kini lebih 50 laporan serupa telah dibuat oleh pelbagai pertubuhan dan individu di Perlis.

No comments:

Post a Comment