Enam bulan selepas terlibat dalam kemalangan ngeri yang menyaksikan serpihan kayu tertusuk di betis kirinya, jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang berdoa, kepulangan semula ke trek buat kali pertama, Ogos ini tidak akan mencetus perasaan trauma.
Pelumba muda yang sinonim dengan jolokan The Pocketrocketman itu bakal menjejakkan kaki ke trek lumba buat kali pertama sejak mengalami kemalangan pada Piala Dunia Klasik di Manchester, Februari lalu dengan bertanding pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzen, China dari 12- 23 Ogos ini.
Azizulhasni, 23, menjelaskan, dia tidak pernah terfikir tentang perasaan trauma hendak berlumba kerana semangatnya untuk kembali beraksi terlalu berkobar-kobar selepas lebih enam bulan berehat, namun pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui, keadaan mungkin berbeza apabila dia benar-benar menjejakkan kaki ke trek.
"Saya tidak pernah terfikir tentang trauma atau takut hendak kembali berlumba kerana yang bermain di fikiran saya sekarang cuma perasaan tidak sabar dan berkobar-kobar mahu beraksi, sudah terlalu lama saya tidak berlumba.
"Bagaimanapun saya tidak tahu apakah yang akan saya rasai apabila kembali ke trek buat kali pertama nanti, selepas kemalangan di Manchester, saya tidak pernah langsung turun ke trek. Harap, saya tidak akan trauma,'' ujar Azizulhasni ketika ditemui pada sidang akhbar sempena pelantikannya sebagai duta produk suplemen, Herbalife semalam.
Menurut Azizulhasni, biarpun sudah kembali berkayuh sejak kemalangan di Manchester, namun dia hanya berlatih bersama pelumba lebuh raya negara di bawah bimbingan jurulatih, Graham Seers dan tidak pernah berkayuh di atas trek, apatah lagi dalam perlumbaan.
Katanya lagi, dia juga masih menjalani rawatan pemulihan dan fisioterapi di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN), malah belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, namun dia sudah tidak merasa sakit dan sedia untuk membawa cabaran pada temasya Universiade.
Selepas mendapat lampu hijau untuk kembali berlumba, sasarannya di China bukan pingat atau rekod tetapi sekadar mengukur sejauh mana tahap prestasi selepas enam bulan berehat, sebelum menyiapkan diri untuk menghadapi cabaran lebih besar dengan kelayakan Sukan Olimpik 2012 akan memulakan kempen, Oktober ini.
"Saya akan beraksi dalam empat Piala Dunia Klasik, Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Dunia sebelum Sukan Olimpik. Saya tidak menetapkan sebarang sasaran di Universiade kerana ia hanya medan untuk mengukur keupayaan saya dan kembali mendapat rentak kayuhan,'' katanya lagi, yang juga belum pasti apakah acara yang akan disertai di China nanti.
Azizulhasni akan kembali ke Melbourne, bulan depan untuk kembali berlatih bersama jurulatih, John Beasley dan rakan-rakan berbasikal trek yang lain.
No comments:
Post a Comment