Sunday, June 19, 2011

Bahagian Pasaran APFT Mungkin Meningkat Dengan Pesaing Perlahankan Perniagaan

Penyedia latihan dan pendidikan penerbangan, APFT Bhd, menyasar bahagian pasaran yang lebih besar apabila beberapa pesaing memperlahankan perniagaan mereka.

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, APFT dijangka meraih sekurang-kurangnya separuh daripada bahagian pasaran kerana ia telah mengambil ramai juruterbang kadet daripada sekolah latihan penerbangan lain, yang mahu meneruskan kursus mereka di akademinya.

Ketika ini, APFT menerajui dengan bahagian pasaran kira-kira 37.8 peratus. Terdapat tujuh peserta lain dalam pasaran yang berpangkalan di Langkawi, Bintulu, Johor Bahru, Ipoh, Melaka, Kuala Terengganu dan Sandakan.

Apabila diminta mengulas mengenai potensi pertumbuhan bagi APFT, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Faruk Othman berkata: "Bahagian pasaran kami boleh berkembang kepada sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang."

Beliau juga mengunjur kenaikan 10 peratus dalam bilangan juruterbang kadet yang dilatih oleh APFT, tahun ke tahun.

"Berikutan perkembangan ini, kami meningkatkan pengambilan kami dan membeli lebih banyak pesawat," katanya dalam temu bual dengan Bernama, hari ini.

Yuran bagi kursus sepenuhnya selama 18 bulan bagi latihan sayap ialah RM250,000.

APFT telah membeli dua pesawat yang dijangka dihantar pada Ogos, di mana ia akan menambahkan jumlah pesawatnya kepada 37.

"Kami juga menyasar mengambil enam lagi tenaga pengajar dan empat pembantu pengajar penerbangan yang dijangka mula bekerja pada 3 Julai," katanya.

APFT juga merancang membeli lebih banyak helikopter, daripada empat ketika ini, kerana ia menjangka pertambahan bilangan pelajar untuk meneruskan latihan helikopter.

APFT juga menjangka memperoleh lesen perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulihnya (MRO) pada separuh kedua tahun ini.

"Perniagaan MRO ini bebas cukai. Ia akan membantu meningkatkan pendapatan kami," katanya.

Syarikat itu juga menubuhkan syarikat perkhidmatan sewa pesawat, APFT Services Sdn Bhd, yang dijangka menawarkan perkhidmatan sewa pesawat bagi penerbangan tidak berjadual pada separuh kedua tahun ini.

Dengan perkembangan positif dalam syarikat, Faruk berkata syarikat itu yakin dapat mencapai unjurannya bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Disember, 2011.

APFT, yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia pada 18 Mac, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.38 juta di atas perolehan RM10.26 juta bagi suku pertamanya yang berakhir pada 31 Mac, 2011.

No comments:

Post a Comment