Saturday, June 25, 2011

Bandar Putra Kemaman Dibangun Jadi Hab Komersil Baru

Bandar Putra Kemaman yang akan dibangunkan di atas tapak seluas 946 hektar di Jalan Mak Lagam, disasarkan menjadi hab komersial baru daerah Kemaman, sekali gus memenuhi peningkatan permintaan unit hartanah kediaman dan komersial kesan ledakan pesat industri petroleum di kawasan itu sejak tiga dekad lalu.

Konsep pembangunan bersepadu di atas tanah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) yang disasarkan meraih jualan keseluruhan RM202 juta itu merangkumi 116 unit kedai pejabat dua tingkat, 68 unit kedai pejabat tiga tingkat, 52 unit banglo setingkat, 118 unit rumah berkembar setingkat, 213 unit rumah teres setingkat dan 242 unit rumah teres mampu milik.

Perbandaran baru yang akan mengubah kawasan barat Kemaman dan terletak kira-kira 3.7 kilometer dari bandar ini, dimajukan bersama syarikat Luas Nyaman Sdn Bhd, Cabaran Iklim Sdn Bhd dan Jubimas Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Luas Nyaman, Mohd Zubir Wahid, berkata sejajar dengan kedudukannya sebagai perbandaran baru pada kedudukan yang strategik, pembangunan unit kedai pejabat disusun menghadap laluan Jalan Mak Lagam yang menghubungkan Kemaman ke Bandar Cheneh Baru.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 798 unit pelbagai jenis rumah dua dan tiga tingkat akan dibangunkan di Bandar Putra Kemaman dan penduduk akan mendapat manfaat besar daripada kedudukan strategik jalan perhubungan ke Cherating, Kuantan dan persimpangan bertingkat Lebuh Raya Pantai Timur Fasa II yang akan siap tidak lama lagi.

"Bandar Putra Kemaman juga akan menjadi antara projek pembangunan paling menonjol di Kemaman kerana berada di persekitaran pelbagai prasarana sedia ada seperti Institut Kemahiran Mara, Sekolah Bestari Tesmal, Sekolah Menengah Mak Lagam (Elit), Kawasan Perindustrian Geliga dan Kampung Mak Lagam.

"Kedudukan istimewanya akan membuka ruang kepada golongan profesional, pendidik dan pelajar memiliki pelbagai jenis rumah dan bangunan komersial," katanya ditemui semalam, selepas majlis pecah tanah di tapak projek yang disempurnakan YTM Tengku Besar Terengganu, Datuk Seri Sharifah Nong Assegaf.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cabaran Ultima Group, Ghee Peng Lam, berkata Bandar Putra Kemaman akan menjadi ikon sebuah pembangunan perbandaran yang tersusun dan kemas sekali gus mengubah penampilan Kemaman sebagai sebuah bandar paling maju di Selatan Terengganu.

Katanya, projek itu disasarkan memenuhi keperluan penduduk Kemaman untuk memiliki unit kediaman dan komersial dalam sebuah perbandaran lengkap dan terancang dengan penampilan seni bina inovatif serta mengketengahkan rekaan terkini dalam aspek landskap dan prasarana kemudahan awam.

"Bandar Putra Kemaman dirancang dan direka dengan mengambil kira kemudahan dan komuniti yang berkembang pesat yang mana sebanyak 500 tempat letak kereta disediakan di kawasan komersial yang akan merangkumi kedai pejabat, sebuah hotel dan pasar raya bagi memberi kemudahan kepada pengunjung," katanya.

Unit teres setingkat mampu milik ditawarkan pada harga dari RM68,000 hingga RM172,000; rumah teres setingkat (RM146,800-RM286,800); rumah berkembar setingkat (RM262,800-RM406,800); banglo setingkat (RM399,800-RM518,000); kedai pejabat tiga tingkat (RM580,800-RM850,800) dan kedai pejabat dua tingkat (RM445,000-RM598,800).

1 comment: